Menurut Bloomberg, ahli perniagaan berusia 79 tahun itu berdepan kerugian selepas 12 tahun mela­bur dalam Aircel apabila syarikat berkenaan memfailkan prosiding muflis pada minggu ini.

Aircel merupakan syarikat terbaharu yang gagal dalam pasaran telekomunikasi di India yang mana suatu ketika dahulu berjaya menarik banyak pelabur asing untuk beroperasi di sana.

Situasi yang berlaku dalam industri telekomunikasi ketika ini tidak mencerminkan usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mahu menarik lebih ramai pelabur asing ke India.

Januari lalu, kerajaan India telah mengurangkan sekatan terhadap pelaburan asing dalam beberapa sektor seperti peruncitan jenama tunggal, broker hartanah dan tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Bajaj Allianz Life Insurans Co., Sampath Reddy berkata, India sentiasa menjadi pasaran yang sukar walaupun negara itu menawarkan prospek terbaik daripada aspek demografi dan populasi yang dimilikinya.

“Tragedi Aircel merupakan pengajaran kepada sesiapa yang mahu melaksanakan perniagaan di sini,” katanya.

Ananda membelanjakan kira-kira AS$800 juta (RM3.13 bilion) untuk membeli Aircel pada 2006 yang mana ketika itu hanya 10 peratus daripada 1.1 bilion po­pulasi memiliki telefon bimbit sekali gus prospek pertumbuhan dilihat agak sukar. – AGENSI