Akhbar itu memetik CBI sebagai berkata, dalam kertas tuduhan itu, dua set aliran wang telah ditemui berkaitan dengan pelepasan Lembaga Promosi Pelaburan ­Asing (FIPB).

Menurut laporan itu, CBI memfailkan kertas tuduhan berkenaan di Mahkamah Patiala House di Delhi, semalam.

“CBI telah mengeluarkan kertas pertuduhan ke atas bekas menteri kewangan, P. Chidambaram dalam kes Aircel-Maxis. Beliau, anak lelakinya Karti Chidambaram bersama 16 yang lain termasuk lima pegawai kerajaan, telah dinamakan oleh agensi itu dalam laporan yang difailkan di Mahkamah Patiala House.

“Selain Chidambaram dan anaknya, 16 orang lagi yang disenarai di dalam kertas pertuduhan itu adalah Ananda Krisnan; Ralph Marshall; Ashok Kumar Jha; bekas setiausaha hal ehwal ekonomi, Ashok Chawla; pegawai Perkhidmatan Pentadbiran India (IAS), Sanjay Krishna dan Dee­pak Kumar Singh; Ram Sharan; S. Bhaskaraman; A. Palaniappam; V. Srinivasan serta syarikat Chess Management; Advantage Strategic Consulting Private Ltd.; Astro All Asia Networks; Maxis Mobile Malaysia; Bumi Armada Bhd. (Malaysia) dan Bumi Armada Navigations (Malaysia),” lapor The Economic Times.

Pada 2006, Maxis Communications Bhd. bersama rakan kongsinya dari India dilapor me­labur kira-kira RM4.104 bilion bagi membeli semua kepentingan dalam firma telekomunikasi Aircel Ltd. di negara itu.

Isu timbul pada 2011 apabila CBI mendakwa bekas menteri komunikasi, Dayanidhi Maran menerima wang suapan kira-kira Rs549 crore (RM366 juta) untuk mendesak penjualan Aircel itu kepada Maxis.

Bayaran itu dikatakan diterima oleh adiknya, Kalanithi Maran melalui pembelian saham syarikat Sun Direct TV oleh Astro All Asia Network Plc, syarikat yang mempunyai kaitan dengan Maxis, ‘sebagai balasan’ kerana me­nguruskan penjualan Aircel.

Maxis sebelum ini bagaimana­pun telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan semua urusan ber­kaitan pembelian kepentingan dalam Aircel adalah selaras de­ngan undang-undang di India.

Maxis menjelaskan, pengambilan alihan Aircel adalah transaksi komersial, transaksi setaraf antara penjual dan pembeli yang sanggup, malah Maxis telah membayar harga yang dituntut oleh penjual, Siva Ventures Ltd.

Pada 3 Mac lalu, Bloomberg melaporkan Ananda Krishnan bakal kerugian sebanyak AS$7 bilion (RM27.4 bilion) berikutan kegagalan perniagaan telekomunika­sinya di India melalui Aircel Ltd.

Ananda Krishnan merupakan individu kedua terkaya di Malaysia dan ke-217 di dunia dalam senarai terbaharu ‘Forbes Billionnaires List 2018’ yang dikeluarkan pada Mac lalu.

Menurut theedgemarkets.com, Ananda, Marshall, Astro All Asia, Maxis Mobile, Bumi Armada dan Bumi Armada Navigations masih belum mengeluarkan sebarang kenya­taan sebagai menjelaskan laporan pertuduhan terbaharu oleh CBI itu.