NIK A. FAIZUL ABD. MALLEK
NIK A. FAIZUL ABD. MALLEK

Syarikat milik penuh Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) itu akan membangunkan projek tersebut secara usahasama dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Andhra Pradesh (APEDB).

Pengarah Urusan Kumpulan MTN, Datuk Nik A. Faizul Abd. Mallek berkata, pihaknya berperanan sebagai perunding penuh dalam menyediakan khidmat kajian kebolehlaksanaan, perancangan dan pembangunan taman tersebut.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk membangunkan pelan induk projek berkenaan selepas kajian kebolehlaksanaan terperinci dijalankan dengan melibatkan pembangunan kluster teknologi fasa satu,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat tersebut di Hyderabad House di sini semalam.

Majlis tersebut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi.

Majlis tersebut adalah sebahagian daripada atur cara lawatan rasmi enam hari Perdana Menteri ke India.

Sebanyak tujuh MoU yang melibatkan kerajaan kedua-dua buah negara ditandatangani dalam majlis tersebut.

Menurut Nik A. Faizul, Taman Teknologi Generasi Ke-4 itu dibangunkan di atas kawasan seluas 100 hektar dengan fokus pembangunan adalah teknologi-teknologi baharu menggunakan amalan terbaik Industri 4.0 yang melibatkan platform digital, data besar dan pembuatan tambahan.

Beliau berkata, projek itu juga akan mengguna pakai piawaian baharu dalam pengurusan taman perindustrian khususnya yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar.

“Usahasama ini akan memacu pembangunan taman teknologi ke satu tahap baharu menerusi pendekatan bersepadu yang meng­hubungkan teknologi, pasaran, pembiayaan dana serta pembangunan bakat,” katanya.

Menurut beliau lagi, projek itu dijangka menarik pelaburan sektor swasta bernilai AS100 juta (RM450 juta) dengan penglibatan 75 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain mewujudkan 5,500 peluang pekerjaan. – UTUSAN