Pengurus Bahagian Pemba­ngunan dan Penyelidikan Citychemo, Norhanita Mohd. Noor berkata, beliau bersama-sama pasukannya menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti potensi pasaran bagi produk halal berasaskan bahan-bahan sunah.

Ujarnya, terdapat permintaan bagi produk sedemikian terutamanya dalam kala­ngan wanita muslimah yang kini semakin mementingkan kan­dungan sesuatu produk yang digunakan.

“Muslimah kini semakin prihatin apabila menggunakan sesuatu produk, mereka mahu memastikan produk itu tidak mengandungi bahan-bahan terlarang seperti alkohol dan sebagainya untuk mudah menjalankan ibadat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, produk-produk Good Virtues Co. juga berteraskan kepada empat elemen penting iaitu halal, menepati gaya hidup muslimah, menampilkan rekaan seni serta ciri-ciri yang mewakili nilai-nilai Islam.

Sementara itu Pengurus Kanan Jenama, Saluran Pengedar Khas Citycheym, Azrina Naimuddin berkata, pihaknya menyasarkan untuk membawa jenama Good Virtues ke negara-negara ASEAN dalam tempoh tiga tahun.

“Ketika ini kami telah memasarkan Good Virtues Co. ke negara seperti Maldives dan Mauritius selain pasaran dalam negara dan sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.

Azrina berkata, selain di jual di pasaraya besar seperti Giant dan rangkaian farmasi Watsons, Good Virtues Co. turut dijual di laman web bagi pembelian atas talian.

“Pengguna boleh melayari laman web Good Virtues Co. atau Facebook dan Instagram kami untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang produk serta promosi yang dijalankan,” jelasnya.