Pengarah Urusan GDB Holdings Berhad (GDB), Cheah Ham Cheia berkata, setiap projek yang dilaksanakan GDB sentiasa mengambil kira faktor penampan yang mana kos akan dinilaikan lebih tinggi daripada harga pasaran.

Jelas beliau, sekiranya tidak berlaku kenaikan harga sepanjang tempoh berkenaan ia akan memberikan keuntungan tambahan kepada syarikat.

“Tempoh kontrak biasanya antara dua hingga tiga tahun sahaja dan kami melihat tidak berlaku peningkatan ketara terhadap harga bahan mentah di pasaran.

“Bagi syarikat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kami berjaya mengekalkan julat kos penampan yang telah ditetapkan lebih awal, sekali gus memberikan margin untung yang lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar penyenaraian GDB di Pasaran ACE Bursa Malaysia Sekuriti di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi GDB, Tan Sri Ir. Zaini Omar, Pengarah Eksekutif GDB, Cheah Jun Kai dan Alexander Lo Tzone Leong serta Ketua Pegawai Kewangan GDB, Toh Fong Eng.

Mengulas lanjut, Ham Cheia berkata, tempoh penyiapan projek turut menyumbang kepada pening­katan margin keuntungan.

“Hampir semua projek GDB berjaya disiapkan lebih awal iaitu antara 14 hingga 107 hari. Justeru kami berjaya mengelakkan kos-kos yang sepatutnya dilibatkan sepanjang tempoh tersebut,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ham Cheia berkata, nilai tender yang dibida oleh GDB kini melebihi RM1 bi­lion dan peratusan kejayaan adalah antara 15 hingga 20 peratus.

“Nilai tempahan projek semasa adalah RM854.9 juta dan dijangka menyumbang kepada perolehan 2018 sebanyak RM400 juta dan RM440 juta untuk 2019,” ujarnya.