Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Abdul Aziz Nik Yaakob berkata, pelan pasca bayar itu merupakan produk terbaharu keluaran syarikat tersebut dan akan dilancarkan dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

"Kami sedang meneliti beberapa perkara sebelum memuktamadkan produk ini. Hasrat ialah mahu produk yang dikeluarkan ini mampu berdaya saing dengan syarikat telekomunikasi sedia ada.

"Insya-Allah kami akan memberikan pulangan yang terbaik kepada para pengguna sebagai tanda terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada Altel," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Komuniti Altel Raikan Hero-Hero Malaysia bersama Raja Shahmri Raja Husin dan Komuniti di Kampung Teluk Renjuna di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Altel turut membina sebuah wakaf untuk kegunaan penduduk kampung berkenaan dan menyampaikan sumbangan makanan serta wang tunai kepada golongan kurang berkemampuan serta anak-anak yatim.

Nik Abdul Aziz memberitahu, ketika ini Altel hanya menyediakan perkhidmatan prabayar kepada pengguna sejak mula dilancarkan dua tahun lalu.

Katanya, sepanjang tempoh dua tahun beroperasi Altel mendapat sokongan dan sehingga kini sudah mempunyai 700,000 pengguna.

"Bagi tahun 2016 kami sasarkan untuk mempunyai lebih 500,000 pengguna aktif produk keluaran Altel. Sokongan padu ini menguatkan lagi semangat pihak kami untuk terus bekerja lebih keras bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan berada pada tahap terbaik," ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz berkata, tahun ini Altel melangkah maju apabila bakal memiliki 200 pencawang sendiri di seluruh negara dalam usaha memperkemaskan lagi perkhidmatan syarikat itu kepada para pengguna.