Ketua Pegawai Operasi Alpine Return, Alan Koh berkata, menara ketiga setinggi 58 tingkat tersebut akan menyediakan sebanyak 471 unit kediaman bersaiz antara 700 hingga 2,972 kaki persegi pada harga bermula RM1.6 juta.

Jelasnya, Alpine Return optimis dengan kadar pemilikan Ascott Star KLCC Kuala Lumpur selepas sebanyak 557 unit kediaman bagi menara pertama terjual sepenuhnya sementara 482 unit bagi menara kedua berada pada 90 peratus.

“Kerjasama dengan jenama terkemuka dalam portfolio kediaman berservis iaitu Ascott akan meningkatkan nilai hartanah kepada pemilik sebagai pelaburan selain memberi jaminan pengurusan perkhidmatan yang profesional.

“Sasaran utama adalah pe­langgan China, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun, malah kami telah menerima lebih 100 pertanyaan mengenai projek ini dari luar negara,” katanya pada majlis pelancaran dan perjanjian antara kedua-dua syarikat itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Negara Ascott Malaysia, Philip Lim; Pengurus Besar Serantau Ascott Singapura dan Malaysia, Ervin Yeo; Ketua Pegawai Kewangan Symphony Life Bhd. (Symphony Life), Hazurin Harun dan Pengarah Urusan United Malayan Land Bhd. (UM Land), Dennis Ng.

Alpine Return ialah sebuah syarikat usahasama antara dua pemaju terkemuka di Malaysia iaitu Symphony Life dan UM Land, akan bersama memba­ngunkan Ascott Star KLCC Kuala Lumpur yang dijangka siap pertengahan 2021.

Di bawah perjanjian itu, Ascott secara rasminya dilantik sebagai pengendali untuk menguruskan semua perkhidmatan kediaman itu seperti sebuah hotel selama 10 tahun termasuk concierge dan kemasan bilik secara harian.

Sementara itu, Yeo berkata, Ascott sedang giat memperluaskan kehadirannya di Malaysia dengan sebanyak lapan hartanah di bawah pengurusan dan 11 lagi di bawah jenama Citadines, Somerset dan Ascott bakal siap pada 2023.