Pasaran saham Bursa Malaysia buat masa ini telah berjaya memecah paras halangan 1,700 mata pada minggu lepas yang mana paras terendah kali ke dua yang dicapai pada tahun ini ialah pada 1,661 mata pada awal Julai.

Pergerakan turun dan naik ini telah banyak diterangkan di ruangan yang lepas-lepas di samping faktor-faktor penyebab pergerakan menaik mahupun menurun. Faktor-faktor penyebab ini boleh kita baca atau peroleh daripada berita-berita yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat tersenarai itu sendiri, laporan yang dikeluarkan oleh syarikat broker saham, berita-berita ekonomi dan bursa tempatan dan global dan sebagainya.

Oleh kerana pasaran saham kini mengalami aliran menaik, maka pelabur dan pedagang saham harus bijak masuk dan keluar pasaran mengikut trend pergerakan pasaran.

Apakah pengertian mengikut trend pasaran?

Mengikut trend pasaran ialah mengikut rentak atau putaran pasaran yang naik dan turun secara berselang-seli. Justeru, pelabur dan pedagang saham perlu membuat kajian sekiranya pasaran saham berada di dalam keadaan menaik, berapa lamakah keadaan ini akan bertahan? Berapa banyak mata indeks FBM KLCI akan naik sewaktu di dalam aliran menaik tersebut?

Begitu juga, sekiranya pasaran telah memasuki aliran menurun, berapa lamakah pergerakan menurun ini akan mengambil masa? Dan pada paras berapakah indeks pasaran akan dicapai atau berapa banyak mata indeks FBM KLCI akan jatuh sewaktu dalam aliran menurun tersebut?

Mungkin ramai yang mengatakan bahawa adalah sesuatu perkara yang mustahil untuk membuat ramalan berapa lama atau berapa banyak indeks FBM KLCI akan jatuh atau naik?

Sebenarnya ia bukan sesuatu perkara yang mustahil jika kita memiliki ilmu analisis teknikal yang jitu dan selalu mengikuti perkembangan dan berita semasa tentang pasaran.

Kita boleh membuat ramalan atau perkiraan walaupun kemungkinan ramalan dan perkiraan tersebut kurang tepat tetapi sekurang-kurang­nya ia bertindak sebagai satu garis panduan kepada pelabur dan pedagang saham.

Dengan ini kita akan meletakkan diri dalam keadaan sentiasa bersedia dan berjaga-jaga jika hala tuju pasaran berubah arah.

Dengan mempunyai pengetahuan membaca dan meramal pergerakan pasaran, kita akan kurang membuat kesilapan yang boleh menyebabkan rugi dalam saham. Ini termasuk kita boleh membuat keuntungan yang lebih banyak sekiranya kita dapat membuat ramalan bahawa sesuatu aliran menaik yang berlaku itu merupakan satu aliran menaik yang agak lama yang disertakan dengan aktiviti pengambilan untung yang sedikit.

Dalam kata mudah, sekiranya kita menjangkakan atau melihat carta pergerakan pasaran akan kekal menaik untuk satu tempoh masa yang agak lama, kita boleh membiarkan pegangan saham di dalam portfolio pelaburan selari dengan kenaikan indeks pasaran atau tidak perlu tergopoh-gapah menjual pegangan saham.

Dan andai kata kita melihat sesuatu rally itu merupakan rally yang singkat, kita boleh mela­kukan aktiviti beli dan jual saham dengan strategi mengambil untung segera dengan cara beli jual intra hari atau kontra.

Dan sebaliknya semasa pasaran saham mengalami ali­ran menurun, kita tidak perlu tergesa-gesa memasuki pasaran secara aktif kerana ia boleh me­ngakibatkan pedagang saham harian atau jangka masa singkat mengalami kerugian besar semasa pasaran saham mengalami aliran menurun yang panjang.

Pedagang saham perlu me­nu­kar status menjadi pelabur saham dan membuat senarai pemilihan saham-saham yang telah mencecah paras terendah tahunan atau dalam sejarah saham syarikat tersenarai ketika pasaran mengalami penurunan termasuk pengambil kira asas-asas fundamental sesebuah syarikat tersenarai tersebut.

Juga, sewaktu aliran menurun yang lama, pelabur saham lebih-lebih lagi yang baharu melibatkan diri dalam pasaran saham dicadangkan membeli saham bersamaan dengan modal pelaburan yang ada dan tidak membuat perdagangan saham berlebihan-lebihan atau over-trade.

Dengan mengikuti garis panduan ini, pelabur dan pedagang saham akan kurang membuat kesilapan seperti sejurus membeli saham, harga saham jatuh atau selepas menjual saham, harga saham terus naik dan naik dengan banyak.

Kepada pembaca di kawasan utara yang ingin mempelajari tentang pelaburan dan pedagang saham boleh hubungi talian 013-3108156.