Pengarah Ayam Al-Toyibah, Abdul Aziz Sikh Ahmad berkata, pelaburan itu membabitkan penyedian mesin serba moden dan canggih bagi menjamin kualiti serta kesucian proses penyediaaan ayam sejajar dengan konsep 'Toyib'sepanjang masa.

Beliau berkata, pihaknya terpanggil untuk menerokai perniagaan pemprosesan ayam bersih dan halal kerana tidak banyak syarikat pemprosesan ayam milik Bumiputera yang bergiat dalam bidang berkenaan berbanding dengan kaum lain di negeri ini.

“Kita bimbang kerana sesetengah pemprosesan ayam yang tidak bersih dan halal boleh mengelirukan umat Islam.

“Kita kena jaga kebersihan serta kesucian pemprosesan ayam supaya konsep 'Toyib' itu dipegang kukuh oleh Ayam Al-Toyibah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian kilang baharu itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada esok (Khamis).

Abdul Aziz yang juga pemilik beberapa restoran berkata, masyarakat Islam tidak perlu bimbang kerana syarikatnya mendapat pengiktiran sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan beberapa agensi akreditasi halal yang lain.

Kilang tersebut memulakan operasi pada September tahun lalu.

Menurut beliau, ayam yang diproses di sini akan dimandikan dan direhatkan sebelum penyembelihan supaya ia lebih bersih serta berada dalam keadaan yang tenang kerana kaedah ini dapat memberikan mutu daging yang lebih baik.

Abdul Aziz berkata, proses penyembelihan dilakukan oleh para pekerja yang mempunyai pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Negeri yang sah.

Beliau berkata, apabila ayam disembelih, penggunaan 'Shackle' akan memastikan pendarahan yang lebih sempurna dan mengelakkan ayam mati kerana lemas.

“Kita akan pastikan ayam akan menjalani pelbagai proses dengan sempurna," ujarnya yang mempunyai 25 pekerja Islam dalam kalangan anak tempatan.

Daripada jumlah pekerja itu, katanya, 10 orang pekerja mempunyai sijil penyembelihan yang diiktiraf Jabatan Agama Islam.

Menurut Abdul Aziz, setiap ayam-ayam yang telah diproses disimpan di dalam peti sejuk beku pada suhu tidak kurang dari -18 °C untuk tahan lama serta disimpan dalam peti sejuk pada suhu 1 -10 °C untuk menunggu penghantaran kepada pelanggan dengan menggunakan kenderaan 'Refrigerated Truck," ujarnya.

Kata beliau, kilangnya itu mampu memproses 3,000 sekor ayam sehari dan ia dipasarkan berdasarkan permintaan di hotel, restoran, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan berapa tempat lain di Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, ekoran sambutan yang menggalakkan, buat permulaan pihaknya bercadang untuk membuka antara 20 hingga 30 kiosk di Kedah dan Pulau Pinang.

"Buat permulaan saya akan membuka kiosk di kawasan yang menjadi tumpuan seperti di Permatang Pauh dan Permatang Ara di Pulau Pinang.

“Setiap sebuah kiosk yang dibuka itu membabitkan kos RM10,000," katanya.

Selain itu, katanya, kilang di sini akan mula menjual ayam 24 jam mulai 14 November ini dan pihaknya juga bersedia menghantar ayam yang ditempah ke rumah.

Sehubungan itu Abdul Aziz berkata, sesiapa yang mahu membuat tempahan boleh menghubunginya di Lot 502C, Jalan Perusahaan, Taman Industri Waja, Kulim, Kedah. di talian 04-4891959, 012-5381959 dan 012-4921959.