Kemunculan penny stock yang secara tiba-tiba ini walau bagaimanapun tidak disedari oleh sebilangan pedagang saham tegar. Ini disebabkan trend kenaikan saham-saham penny telah lama menyepi.

Kenaikan yang secara tiba-tiba tanpa apa-apa sebab membuatkan ramai pedagang tegar tidak membeli saham penny ini walaupun harganya sangat murah.

Keadaan ini juga disebabkan orang masih takut untuk membeli saham-saham yang berharga murah disebabkan larangan oleh setengah pihak yang percaya saham-saham syarikat ini tidak berapa kukuh dari segi asas fundamental.

Atau dalam kata lain, syarikat-syarikat ini kebanyakannya mempunyai laporan kewangan yang tidak memberangsangkan atau prestasi kewangan merosot.

Oleh kerana prestasi kewangan yang kurang memberangsangkan, ini mengakibatkan harga saham syarikat tersebut semakin turun dan ramai pelabur menjauhkan diri daripada membeli saham-saham penny ini sama ada untuk jangka pendek mahupun panjang.

Kita juga jarang membaca laporan bahagian penyelidikan syarikat broker saham atau penganalisis pasaran yang membuat kupasan atau ulasan tentang saham-saham penny ini. Jauh sekali daripada menyenaraikan saham-saham ini untuk diperhatikan (watchlist).

Justeru, sudah pasti pembaca yang membaca laporan penyelidikan ini akan mengikuti saranan penganalisis pasaran mahupun bahagian penyelidikan syarikat broker saham kerana mereka merupakan profesional yang bertauliah untuk membuat kupasan atau laporan tentang saham-saham syarikat sena­raian awam.

Selain itu, musim saham penny menguasai gelanggang saham-saham aktif dan saham-saham untung merupakan satu aktiviti sementara. Dan semasa saham-saham penny ini bergerak dan didagangkan cergas dengan jumlah saham bertukar tangan yang sangat besar, kerap-kali pedagang jangka pendek terperangkap di penghujung musim ini.

Maksudnya, kegiatan yang cergas ini akan beransur-ansur menjadi perlahan disebabkan terlalu banyak pengambilan untung semasa harga naik. Ini akan menyebabkan harga saham semakin menurun sekiranya penjualan tidak dapat diserap dalam transaksi kontra.

Keyakinan pedagang saham kebiasaannya akan muncul semasa harga saham telah naik dengan banyak dalam beberapa hari. Jarang yang membeli saham sewaktu harga masih rendah atau belum bergerak naik. Kerap kali terjadi keadaan pedagang saham memasuki pasaran semasa trend menghampiri penghujung.

Kesilapan terbeli saham di penghujung trend merupakan kesilapan yang kerap dilakukan oleh pedagang saham yang kurang pengalaman atau yang baru melibatkan diri dalam urus niaga saham. Mereka tidak mengetahui pergerakan turun naik saham serta penggiliran sektor selain daripada analisis teknikal.

Sikap ingin cepat meraih keuntungan membuatkan mereka membeli saham yang telah naik dan bukan membeli saham sebelum naik.

Mereka tidak mengetahui bahawa saham yang telah naik dengan banyak itu ada kala­nya berada pada paras terlebih belian dari segi analisis teknikal. Terdapat juga yang tidak mengambil untung tetapi masih menunggu agar saham yang dibeli itu naik lagi.

Aktiviti ini biasanya dipanggil ‘merempit saham’ atau langgar lari (hit and run) iaitu transaksi jual beli saham untuk meraih keuntungan dalam masa singkat.

Ia sama juga dengan urus niaga harian (day-trade) atau kontra. Ia bermakna penjualan saham dilakukan sebelum pembeli sempat membayar keseluruhan jumlah saham yang dibeli.

Keuntungan yang diperoleh daripada transaksi ini disebut sebagai untung kontra. Syarikat broker saham akan membayar jumlah keuntungan daripada perbezaan harga beli dan jual.

Sebagai contoh, Ahmad mempunyai duit dalam akaun amanah (trust account) seba­nyak RM5,000. Ahmad membeli saham syarikat ABC pada hari Isnin, pukul 9.30 pagi dengan harga 20 sen sesaham.

Harga saham syarikat ABC terus naik menjadi 25 sen. Ahmad menyedari beliau mempunyai untung sebanyak 5 sen, maka Ahmad pun menjual saham syarikat ABC. Penjualan tersebut dipadankan pada pukul 9.50 pagi.

Ini bermakna modal seba­nyak RM5,000 di dalam akaun amanah Ahmad tidak digunakan untuk membayar jumlah pembelian saham syarikat ABC kerana tempoh penyelesaian (settlement day) ialah T3 atau tiga hari dagangan.

T3 ini jatuh pada Khamis. Syarikat broker saham akan membayar kepada Ahmad 5 sen tersebut. Jika Ahmad membeli sebanyak 10,000 unit, maka jumlah untung kasar ialah RM500.