Ketua Eksekutif Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, akta berkenaan ditadbir, dilaksana dan dikuatkuasakan oleh Perkeso bagi melin­dungi golongan tersebut.

Katanya, buat permulaan, AKSPS 2017 terpakai ke atas kira-kira 100,000 pemandu teksi, Uber dan Grabcar bagi membolehkan mereka mendapat faedah sekiranya berlaku kemalangan atau penyakit sewaktu bekerja sebelum diperluas kepada sektor-sektor lain.

“Bermula 1 Jun ini, kesemua pe­mandu teksi, Uber, Grabcar dan perkhidmatan seumpamanya wajib mencarum sebanyak 1.25 peratus daripada pendapatan yang diinsu­ranskan.

“Kami juga sedang giat bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), persatuan pemandu teksi, syarikat Uber dan Grab bagi memastikan kesemua pemandu yang mendaftar di bawah agensi tersebut mencarum melalui akta ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

AKSPS 2017 diluluskan semasa Persidangan Dewan Negara April lalu dengan peruntukan sebanyak RM60 juta sebagai geran pelancaran seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Pembentangan Bajet 2017.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, pelaksanaan akta ini wajar dilihat dari sudut positif memandangkan ia mempunyai peranan lebih meluas berbanding insurans swasta.

Katanya, faedah yang dibayar oleh Perkeso melalui akta ini atas prinsip penggantian pendapatan termasuk kemudahan pemulihan jauh lebih bermakna berban­ding insurans swasta yang hanya membayar mengikut jumlah yang ditetapkan dalam polisi insurans.

“Pekerja sendiri seharusnya mengambil peluang ini, walaupun mereka sudah mempunyai insu­rans sendiri, namun dengan hanya mencarum sebanyak RM592.80 setahun atau RM49.40 sebulan bagi pendapatan RM3,950 sebulan, mereka mendapat perlindungan menyeluruh daripada Perkeso.

“Saya berharap pemandu teksi, Uber dan Grabcar tidak melihat akta ini sebagai suatu beban, tetapi lebih kepada satu bantuan untuk memastikan jaringan keselamatan pekerja akan berterusan dan terjamin,” katanya.

Beliau menambah, pemandu teksi yang bekerja sendiri perlu membayar caruman secara tahunan terus kepada Perkeso melalui kaun­ter pejabat Perkeso berhampiran.