Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, bagi memenuhi manfaat daripada kemungkinan ini, sesetengah pengawal selia mengguna pakai Regulatory Sanboxes bagi menguji penyelesaian dan membentuk peraturan yang bersesuaian.

“Tidak perlu diragukan lagi tiada pendekatan lain yang diambil dalam usaha inovasi dan menjalankan kajian ini. Apabila perkara tidak berjalan lancar, kita perlu bersedia mengubah taktik dan strategi.

“Untuk itu, kita memerlukan pendekatan yang lebih baik dan efektif bagi membuat semakan risikan termasuk daripada sumber bukan tradisional,” katanya dalam Persidangan Persatuan Pengawal Selia Insurans Antarabangsa (IAIS) kali ke-24 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif IAIS, Victoria Saporta dan Setiausaha Agung IAIS, Yoshihiro Kawai.

Persidangan selama dua hari itu menghimpunkan profesional dalam sektor industri daripada pelbagai negara bagi membincangkan isu semasa dan kepen­tingan kawal selia insurans.

Menurut Muhammad, selepas 10 tahun krisis kewangan global, industri insurans semakin kukuh dan mempunyai asas yang stabil.

Katanya, peneraju industri dan pengawal selia kemungkinan akan berpuas hati dengan apa yang dicapai walaupun hakikatnya tidak ada ruang untuk berada dalam keadaan selesa.

“Dalam persekitaran yang semakin kompetitif, tawaran produk yang kompleks dan ke­perluan pelanggan yang berubah akan sentiasa membawa risiko kepada pentadbiran secara berlebihan dan kawal selia yang rumit,” katanya.

Beliau berkata, teknologi canggih akan menawarkan tambahan peluang terutama dengan potensi yang diperoleh menerusi penggunaan data besar bagi me­ningkatkan langkah mengenal pasti risiko dan penilaian.