Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ketika ini kira-kira sembilan juta rakyat Malaysia melabur dalam 12.9 juta akaun amanah saham di bawah Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB).

Katanya, PNB kini menguruskan sejumlah RM226 bilion unit amanah saham dan 82 peratus daripadanya merupakan unit yang dipegang oleh kaum bumiputera.

“Selain itu, pemilikan ekuiti bumiputera di peringkat korporat sekarang juga berada pada kadar 23 hingga 24 peratus dan sebahagian besar daripada angka tersebut hasil daripada usaha tabungan rakyat Malaysia daripada skim-skim amanah saham.

“Daripada jumlah itu, sembilan peratus merupakan skim-skim amanah saham seperti Amanah Saham Bumiputera; Amanah Saham Nasional dan sebagainya.

“Jadi, kalau boleh saya mahu program-program memperkasakan ekonomi bumiputera ini lebih berjaya lagi bagi memastikan pemilikan ekuiti khususnya bumiputera terus meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR 2.0) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh.

Makmal sindikasi BETR 2.0 merupakan inisiatif Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang menyokong hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat seluruh jentera kerajaan dilibatkan dalam pelaksanaan agenda transformasi ekonomi bumiputera.

Sebanyak 25 buah kementerian bersama agensi-agensi, syarikat milik kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkampung selama tujuh hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PIC) bagi memberi idea dan saranan dalam usaha memantapkan agenda transformasi ekonomi bumiputera.

Abdul Wahid turut berkongsi idea yang dikemukakan pada sesi lawatannya ke enam buah makmal sindikasi antaranya kepentingan kemahiran berbahasa dan pendidikan kewangan.

Beliau berkata, kemahiran menguasai lebih daripada dua bahasa pada hari ini adalah penting dalam usaha melahirkan kualiti modal insan yang lebih kompetitif dalam kalangan bumiputera.

Katanya, penggunaan bahasa ketiga seperti bahasa Mandarin, Tamil, Arab dan sebagainya perlu diwajibkan di peringkat awal persekolahan bagi membolehkan pelajar-pelajar mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi.

“Kalau kita mahu rakyat mengambil peluang dengan pelaburan dari negara China misalnya, kita perlu menggalakkan mereka untuk mahir berkomunikasi dalam bahasa asing. Ini seterusnya memberi nilai tambah bukan sahaja kepada diri mereka malah turut memberi impak yang positif kepada pertumbuhan aktiviti perdagangan dan perniagaan.

“Saya yakin kemahiran berbahasa lebih daripada dua bahasa akan mewujudkan modal insan yang mempunyai kelebihan serta boleh bersaing dalam dunia mencabar pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata, kaum bumiputera hari ini juga perlu didedahkan dengan pendidikan kewa­ngan bagi membolehkan mereka menguruskan aset diri serta perniagaan dengan lebih bertanggungjawab.

“Kalau kita lihat kadar muflis dalam kalangan golongan muda bumiputera adalah tinggi. Ini dapat dikurangkan dengan adanya pendidikan kewangan di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

“Kemahiran celik kewangan ini juga berkait rapat dengan kebolehan menguasai ilmu perniagaan, perdagangan dan perakaunan,” jelas­nya.