Malah, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail menegaskan, pembayaran bulanan telah dilaksanakan secara konsisten kepada pengendali lapangan terbang tersebut.

Kata beliau, AirAsia X membuat pembayaran kepada Malaysia Airports Holdings (Sepang) Sdn. Bhd. pada 2 Februari, 1 Mac, 1 April dan terbaharu sejumlah RM16.58 juta, semalam.

“Ini bertentangan dengan dakwaan yang dibuat dalam writ saman dan kenyataan tuntutan yang difailkan oleh Malaysia Airports Sepang bahawa AirAsia X enggan atau gagal menjelaskan pembayaran,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Semalam, MAHB memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Malaysia Airports Sepang telah memfailkan saman kepada AirAsia X di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 April.

Tindakan undang-undang itu adalah kerana AirAsia X mempunyai yuran yang tidak berbayar bernilai RM34.88 juta untuk caj lapangan terbang, sewa dan pembayaran lewat.

Menurut MAHB, penting ba­gi Malaysia Airports Sepang mengambil tindakan itu untuk melindungi kepentingannya ke­rana telah berkali-kali menuntut bayaran daripada AirAsia X.

Benyamin berkata, bayaran tetap dibuat meskipun proses untuk menggantikan kerugian AirAsia X disebabkan kebocoran paip bahan api di KLIA2 pada Oktober 2016 masih berterusan.

Jelasnya, AirAsia X bersama AirAsia Bhd. telah membuat banyak aduan rasmi berhubung kemudahan lapangan terbang yang tidak memuaskan dan caj yang tinggi sebelum ini.

Walau bagaimanapun menurut beliau, Malaysia Airports Sepang tidak menunjukkan sebarang minat untuk menyelesaikan isu-isu yang masih belum selesai tersebut.

“Proses ini dijangka membolehkan syarikat penerbangan mendapatkan semula kerugian yang disebabkan oleh tahap kemudahan lapangan terbang yang rendah,” katanya.

Benyamin memberitahu, Air­Asia X tetap komited untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak dengan Malaysia Airports Sepang sebagai usaha bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.