AirAsia adalah syarikat penerbangan terbesar yang menempah pesawat jenis A320 dengan 578 pesawat, termasuk 404 pesawat jenis A320neo.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, China merupakan satu daripada pasaran penting di dunia bagi sektor penerbangan, dan AirAsia berbesar hati menjadi sebahagian daripada pembangunan pesat dan kemajuan dalam sektor penerbangan awam di China.

``Kami berbangga menerima pesawat ini yang dipasang sepenuhnya di Tianjin dan menjadikan pesawat bersejarah ini sebahagian daripada operasi kami.”

“Pesawat Airbus A320 telah banyak menyumbang kepada perkhidmatan dan operasi kami. Tahun lalu, kami menerima pesawat A320neo yang pertama, dan ini adalah pesawat A320neo ke-13 bagi kumpulan syarikat kami.

``Ia juga merupakan pesawat ke-184 daripada Airbus. Dengan rangkaian yang semakin luas serta penambahan penerbangan, amat penting bagi kami untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan kami. Justeru, kami amat teruja menerima pesawat A320neo yang memberikan penjimatan bahan api sehingga 15 peratus dan tambahan 500 batu nautika, membolehkan kami terus tmenawarkan tambang rendah kepada para tetamu,” tambah beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

FALA di Tianjin, yang dirasmikan pada tahun 2008 adalah lokasi ketiga bagi pemasangan pesawat Airbus, selain Toulouse dan Hamburg. Ia juga merupakan tempat pemasangan akhir yang pertama di luar Eropah. Hari ini, kira-kira 340 pesawat telah dipasang dan dihantar dari Tianjin, China.

Pesawat jenis A320neo menggabungkan teknologi terkini dengan enjin generasi baharu dan Sharklets yang boleh menjimatkan sekurang-kurangnya 15 peratus bahan api semasa proses penghantaran dan hingga 20 peratus pada tahun 2020. Dengan lebih daripada 5,200 pesanan yang diterima daripada 95 syarikat penerbangan sejak ia dilancarkan pada tahun 2010, pesawat A320neo telah mengungguli kira-kira 60 peratus bahagian pasaran. - UTUSAN ONLINE