Syarikat penerbangan tambang rendah tersebut membe­ritahu, faktor muatan kekal sejajar de­ngan prestasi suku sama tahun lalu meskipun kapasiti ditingkatkan sebanyak 14 peratus tahun ke tahun.

“Bagi tempoh akhir suku ber­kenaan, kumpulan mempunyai sebanyak 110 pesawat iaitu 80 pesawat di Malaysia (AirAsia), 14 di Indonesia (PT Indonesia AirAsia) dan 16 di Filipina (Filipina AirAsia Inc.).

“AirAsia Consolidated merujuk kepada hasil operasi yang disatukan untuk tujuan laporan kewangan di bawah sijil pengendali udara (AOC) termasuk di Malaysia, Indonesia dan Filipina,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut AirAsia, Malaysia memulakan operasi empat laluan baharu dari Kuala Lumpur dan Langkawi masing-masing dengan dua laluan, sementara Indonesia pula memulakan operasi tiga laluan iaitu dari Jakarta, Bali dan Surabaya.

“Malaysia juga meningkatkan kekerapan sebanyak 12 laluan ia­itu 10 dari Kuala Lumpur dan dua dari Langkawi, manakala Filipina pula satu laluan dari Cebu.

“Indonesia pula meningkatkan frekuensi kepada empat laluan iaitu dua dari Jakarta dan masing-masing satu laluan dari Bali dan Kualanamu,” jelasnya.

Tambah kumpulan berkenaan, usaha pengurusan kapasiti melalui pengurangan frekuensi turut dilaksanakan pada lima laluan iaitu dua dari Kuala Lumpur dan Cebu, manakala satu lagi dari Davao.

Sementara itu, Thai AirAsia melaporkan faktor muatan pada 85 peratus, meningkat satu mata tahun ke tahun dengan jumlah penumpang meningkat 14 peratus kepada 4.92 juta lebih tinggi daripada pertumbuhan kapasiti tempat duduk 13 peratus.

“Thai AirAsia menamatkan suku tersebut dengan sejumlah 54 pesawat, tidak berubah daripada suku sebelumnya serta tambahan lima pesawat dari tahun ke tahun,” jelas kumpulan ber­kenaan.

AirAsia India pula membawa 1.17 juta penumpang pada tempoh kajian, meningkat 99 peratus atau hampir dua kali ganda berbanding suku sama tahun lepas, namun faktor muatan turun tiga mata tahun ke tahun keapda 85 peratus.

“Penurunan itu disebabkan peningkatan kapasiti sebanyak 104 peratus. AirAsia India menamatkan suku kajian dengan 13 pesawat iaitu tambahan tiga buah berbanding suku sebelumnya,” jelasnya.