Penerbangan terus dengan kekerapan tujuh kali seminggu ke Macau dan lima kali seminggu ke Kolkata itu adalah laluan keempat dan kelima dilancarkan Air Asia dari hab selatan tanah air pada tahun ini selepas Johor Bahru-Jakarta, Indonesia; Johor Bahru-Kuala Terengganu dan Johor Bahru-Langkawi pada awal tahun ini.

Ketua Komersial Air Asia Berhad, Spencer Lee berkata, hingga kini syarikat penerbangan itu beroperasi dengan 161 penerbangan sehala seminggu dari LTAS ke Bangkok, Thailand; Ho Chi Minh, Vietnam; Jakarta dan Surabaya, Indonesia selain sembilan laluan domestik ke Kuala Lumpur, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu dan Kota Kinabalu.

"Sejak 2010, AirAsia telah menerbangkan kira-kira 12 juta orang ke LTAS dan dari LTAS ke destinasi antarabangsa dan domestik.

"Air Asia juga berbesar hati untuk menghubungkan lebih banyak laluan antarabangsa ke Johor Bahru dan menambah jumlah penerbangan terus, sekali gus meningkatkan lagi kedatangan pelancong asing ke negeri ini," katanya pada majlis pelancaran penerbangan baharu AirAsia di LTAS di sini sebentar tadi.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan disaksikan Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd., Md. Derick Basir. - UTUSAN ONLINE