Ketua Komersial Air­Asia, Spencer Lee berkata, sempena pengumuman itu, AirAsia menawarkan tambang promosi serendah RM129 sehala di airasia.com hingga 1 Oktober 2017 untuk perjalanan dari 28 November 2017 hingga 21 November 2018.

Jelasnya, promosi ter­sebut juga boleh didapati melalui aplikasi AirAsia untuk peranti iPhone dan Android serta laman mudah alih mobile.airasia.com.

“Kami berbesar hati un­-
tuk memperkenalkan laluan Johor Bahru-Macau sebagai satu daripada pe­lan jangka panjang untuk mengembangkan hab ini sebagai hab serantau dan menjadikannya pintu masuk untuk pelancong perniagaan dan pelabur dari China ke selatan Malaysia.

“Selain Macau, kami juga telah memperkenalkan beberapa laluan baharu dari Johor Bahru pada tahun ini seperti Johor Bahru-Kuala Terengganu, Johor Bahru-Langkawi, dan baru-baru ini Johor Bahru-Kolkata sebagai bukti komitmen kami.

“Ini hanyalah titik permulaan dan kami mempunyai pelbagai rancangan untuk terus memajukan hab tersebut pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Selain Macau, AirAsia juga terbang ke enam lagi laluan antarabangsa dari Johor Bahru iaitu Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya dan Kolkata serta sembilan laluan domestik iaitu Kuala Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu dan Kota Kinabalu.

Lee berkata, sejak tahun 2010, AirAsia telah menerbangkan lebih 11 juta tetamu dari dan ke Johor Bahru, dan ia merupakan hasil daripada kerjasama erat serta soko­ngan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dalam meningkatkan kesalinghubungan serta pengalaman pengguna.

“Kami percaya lapangan terbang ini berpotensi untuk berkembang lebih maju dan kami akan terus bekerjasama dengan mereka untuk mengukuhkan hab ini serta menyediakan sambungan yang lebih baik kepada para pelanggan,” katanya.