Dalam catatan beliau menerusi akaun Twitter semalam, beliau turut me­nyatakan syarikat penerba­ngan tersebut mungkin akan membuat pesanan tambahan daripada pengeluar pesawat itu.

“(Saya) berlepas ke Airbus hari ini di Toulouse. Banyak perkara yang hendak dibincangkan. Pesawat A330 neo (dilengkapi) de­ngan enjin Rolls Royce. Ia (berat) 251 tan (dan) boleh sampai ke London,” katanya.

Fernandes sebelum ini dilaporkan berkata, kumpulan itu me­rancang untuk menambah model Airbus dengan kerangka besar dan kumpulan pesawat Air­Asia X.

Ia kini memiliki 242 buah pesawat Airbus, terdiri daripada 212 buah pesawat A320 dan 30 buah pesawat A330.

Sebelum ini, menurut Reuters, AirAsia X Bhd. perlu memastikan harga, prestasi dan enjin pesawat Airbus SE A330neo adalah tepat sebelum membuat sebarang ‘pengesahan akhir’ bagi tempahan sebanyak 66 buah jet tersebut.

AirAsia X, cabang penerbangan jarak jauh bagi AirAsia Group Bhd. merupakan pelanggan terbesar bagi A330neo iaitu pesawat yang berdepan cabaran dari segi jualan berkait rapat dengan pesaing utama, Boeing 787.

AirAsia X sebelum ini membuat tempahan bagi pesawat badan lebar cekap tenaga A330­neo bagi menggantikan pesawat generasi pertamanya A330s, namun syarikat itu telah melambatkan tarikh penghantaran.

Ia telah berbincang dengan Boeing bagi kemungkinan membeli pesawat 787-10 sebagai alternatif dan mungkin akan membuat keputusan akhir tahun ini, menurut seorang yang tidak asing tentang perkara itu kepada Reuters.

Fernandes dalam perkongsian di Twitter berkata, beliau sedang melawat ibu pejabat Airbus di Toulouse, Perancis bagi berbincang tentang A330neo dan A321neo.

“Kami telah membuat tempahan bagi 330 tetapi sebelum mengesahkannya, kami perlu memastikan harganya tepat, presta­sinya tepat dan enjinnya tepat.

“Dan prestasi 330 seberat 251 tan adalah tepat. Jika tepat seperti pesawat yang kami impikan dan mahukan, kami boleh memesan lebih ba­nyak lagi,” katanya.

Versi 251 tan yang mampu terbang tanpa henti dari Kuala Lumpur ke London itu me­rupakan pesawat A330 versi yang lebih berat dan mampu untuk terbang lebih jauh, namun tidak akan tersedia sehingga 2020.