Ketua Pembangunan dan Kecekapan Global Kumpulan Air­Asia, Kapten Rajesh Gill berkata, buat masa ini hanya sembilan daripada 14 buah lapangan terbang melaksanakan prosedur tersebut iaitu Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu, Langkawi, Pulau Pinang serta Sibu.

Beliau berkata, AirAsia juga berharap pihaknya dapat mencapai satu lagi kejayaan besar de­ngan menjadi syarikat penerba­ngan pertama di negara ini yang mengendalikan semua penerba­ngan domestik dengan prosedur RNP-AR APCH.

“Dengan menggunakan pendekatan RNP-AR, AirAsia mampu mengekalkan ikrarnya untuk memberi semua orang peluang untuk terbang dengan kos yang rendah tanpa menjejaskan kese­lamatan penumpang.

“Inisiatif ini juga telah dapat mengurangkan masa penerba­ngan, pembakaran bahan api, pencemaran bunyi dan pelepasan karbon,” katanya kepada pembe­rita di sini baru-baru ini.

Prosedur penerbangan RNP-AR, merupakan teknologi pan­-
du arah berasaskan prestasi (PBN) yang direka bagi memendekkan jarak penerbangan pesawat.

Teknologi PBN membolehkan juruterbang menggunakan teknologi sistem pengesanan global (GPS) dalam pesawat bagi mengikuti laluan dengan lebih tepat tanpa perlu bergantung kepada menara kawalan dan krew darat.

Tambah Gill, AirAsia telah membelanjakan sebanyak AS$5.5 juta (RM23.46 juta) bagi memperkenalkan teknologi tersebut dan melalui inisiatif itu juga, Air­Asia telah dapat mengurangkan kosnya sehingga RM9 juta setahun.

Katanya, pelaburan tersebut termasuklah bagi usaha menaik taraf pesawat, mencapai pensijil­an operasi serta melatih juruterbang AirAsia untuk mahir menggunakan RNP-AR APCH.

“Kami turut berterima kasih kepada Ketua Pengarah Pener­bangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman kera­na mengiktiraf keupayaan Air­Asia dan turut memberikan kelulusan dan kepercayaan kepada kami bagi mengendalikan laluan pener­bangan RNP-AR APCH di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, melalui penggunaan RNP-AR APCH, syarikat-syarikat penerbangan bertauliah yang lain juga akan dapat menikmati manfaat hasil daripada prosedur tersebut.

“Ia merupakan satu lonjakan positif bagi industri penerbangan di Malaysia terutamanya dari segi kecekapan operasi, keselamatan dan perlindungan alam sekitar,” jelasnya.