Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar berkata, jumlah tersebut sama dengan yang disa­sarkan Kementerian Pelancongan Indonesia bagi memacu industri pelancongan di negara itu.

Menurutnya, berdasarkan rekod, sebanyak empat juta penumpang kedua-dua negara telah menggunakan perkhidmatan Air­Asia pada tahun lalu sahaja.

“Kami yakin sasaran itu mampu dicapai dengan mudah selain turut berkemampuan membawa pelancong dari hab perniagaan lain seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand dan negara Asia Barat.

“Kerjasama dengan Indonesia juga membuka peluang kepada Air­Asia dalam meneroka potensi laluan destinasi baharu di negara itu seterusnya mengukuhkan jenama AirAsia,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran promosi pelancongan Kementerian Pelancongan Indonesia dan AirAsia Bhd. di sini hari ini.

AirAsia kini mempunyai lebih 350 penerbangan seminggu ke 15 destinasi di Indonesia seperti Acheh, Bandung, Bali, Jakarta, Lombok, Medan, Pekanbaru, Palembang, Padang, Pontianak, Semarang, Solo, Surabaya, Makassar dan Yogyakarta.

Aireen memberitahu, kerjasama tersebut akan menyaksikan kedua-dua pihak memberi tum­puan kepada usaha pemasaran dari segi pengiklanan dan promosi serta penjenamaan dalam pe­nerbangan, pameran dan jualan.

“Kementerian Pelancongan Indonesia sangat agresif dalam me­lonjakkan kehadiran pelancongan dan semestinya kita sedia membantu mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Penasihat Ka­nan Menteri Pelancongan Dalam Bidang Kemudahan Udara Kementerian Pelancongan Indonesia, Robert D. Waloni menjelaskan, pemilihan AirAsia dibuat atas kemampuan syarikat penerbangan tersebut membawa pelancong melebihi syarikat penerbangan terbesar Indonesia, Garuda Indonesia Airlines.

“Kita juga melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) adalah hab pelancongan kepada Indonesia selain Malaysia menduduki kedudukan pertama pelancong mengunjungi Indonesia saban tahun,” jelasnya.