Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia, Aireen Omar berkata, pihaknya berasa amat teruja me­raikan dan menyambut penerbangan sulung bagi laluan terbaru dari Pontianak ke Kuching hari ini.

“Kami yakin bahawa ketibaan para pelancong dari Indonesia ke Sarawak akan terus bertambah melalui pembukaan laluan ini, selari dengan usaha kerajaan Sarawak untuk menarik lima juta pelancong tahun ini.

“Pada masa sama, penduduk Sarawak juga boleh melancong ke Pontianak untuk menikmati keindahan di Kota Khatulistiwa tersebut dengan penerbangan terus dan tambang murah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menyambut ketibaan pesawat AirAsia pertama dari Pontia­nak di Lapangan Terbang Antarabangsa Ku­ching di sini hari ini.

Hadir sama menyambut pener­bangan sulung itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan ne­geri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Menteri Mudanya, Datuk Lee Kim Shin; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan negeri, Datuk Ik Pahon Joyik; Naib Ketua Delegasi Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Muhammad Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pelancongan negeri, Datuk Abdul Wahab Aziz.

Penerbangan sulung yang membawa rombongan disertai oleh Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio Pontianak, Bayuh Iswantoro; Pemangku Pengarah Komersial Air­Asia Indonesia, Rifal Taberi dan sekumpulan wartawan Indonesia itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini pada pukul 1.50 petang ini.

Mengulas lanjut, Aireen berkata, laluan baharu dari Kuching merupakan sebahagian daripada inisiatif dan komitmen syarikat penerbangan itu untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka dan hab serantau bagi pelancong yang melawat Borneo.

“Kami percaya Sarawak berpotensi untuk berkembang lebih maju. Justeru, kami kini meninjau laluan hubungan terus dari negara-negara ASEAN, China, Indo-China, Asia Utara, Australia dan banyak lagi,” ujarnya.