Penegasan itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar yang memberitahu telah membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, tindakan itu juga dibuat AirAsia dengan mengambil kira fasiliti dan infrastruktur yang terdapat di Terminal 1 KKIA tidak menepati spesifikasi sebagai sebuah lapangan terbang tambang murah.

“Selain itu, cukai lapangan terbang bagi penerbangan antarabangsa akan meningkat lebih 100 peratus sekiranya kita berpindah dari Terminal 2 ke Terminal 1 KKIA,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Aireen berkata, perpindahan ke Terminal 1 KKIA akan merencatkan operasi dan kedudukan AirAsia ekoran perkongsian sumber serta infrastruktur.

Ujar beliau, AirAsia mempunyai pelan pertumbuhan bagi lima hingga 10 tahun terutama untuk negeri ini bersaing menjadi salah sebuah hub syarikat tersebut selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Bagaimanapun katanya, usaha murni itu tidak akan berjaya sekiranya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) gagal melaksanakan tanggungjawab bersama-sama AirAsia memajukan industri penerbangan di negeri ini.

“Kita mempunyai pelan pertumbuhan bagi lima tahun iaitu menjadikan Sabah sebagai hab terbesar di negara ini selepas klia2 dengan keupayaan menempatkan 20 buah kapal terbang di KKIA. Setakat ini, kita hanya berupaya menempatkan enam kapal terbang sahaja.

“Saya tidak pasti sama ada MAHB faham tentang pelan pertumbuhan ini. Mereka mengarahkan kita berpindah ke Terminal 1 tetapi tidak mengambil kira pelan pertumbuhan seperti yang kita harapkan," katanya.

Tambah Aireen lagi, perpindahan ke Terminal 1 itu bukan satu keputusan bijak untuk pembangunan jangka panjang industri pelancong dan penerbangan di negeri ini.

“Bila sudah berpundah ke Terminal 1, apa perancangan jangka panjang yang boleh MAHB berikan kepada AirAsia. Kenapa mereka tidak mempunyai fasiliti tambang murah dalam pelan utama mereka,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan ini merupakan keputusan tetap AirAsia, beliau berkata, pihaknya akan mempertimbangkan perpindahan (Terminal 1) jika pihak MAHB turut menyediakan pelan menang-menang seperti penyediaan infrastruktur sebagai Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

Sementara itu, ditanya sama ada AirAsia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak berkaitan ekoran masalah di klia2, Aireen berkata, perkara itu masih dalam perbincangan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.