Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata, pelancaran terbaharu itu menjadikan bandar raya ini sebagai laluan domestik ke-16 dari hab Johor Bahru dan ke-17 bagi laluan domestik negara.

Katanya, perkhidmatan pe­nerbangan terus ke Ipoh itu amat dinantikan dalam rangkaian laluan AirAsia dan merupakan usaha berterusan pihaknya dalam menawarkan lebih ba­nyak laluan domestik.

“AirAsia telah memperluaskan rangkaian secara agresif dari hab Johor Bahru dengan menawarkan peluang terbang secara terus ke bandar Ipoh yang penuh tarikan ini.

“Selain perkhidmatan dari Johor Bahru ke Ipoh ini, kita juga telah memulakan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar pada hari ini dan yakin kedua-duanya akan menjadi destinasi popular untuk percutian dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyambut ketibaan seramai 126 penumpang menerusi penerbangan AirAsia AK6082 di LTSAS di sini hari ini.

Turut sama menyambut pe­nerbangan yang dikendalikan Airbus A320 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor itu ialah Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing dan Ahli Lembaga Pe­ngarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar.

Menurut Riad, pelancaran dua laluan baharu iaitu ke Ipoh dan Alor Setar itu diharap dapat membantu meningkatkan lagi jumlah pelancong ke dua bandar tersebut.

“Kita komited untuk memperluaskan lagi laluan yang dapat memberi sumbangan bukan sahaja terhadap sektor pelancongan malah peluang pekerjaan dan perniagaan setempat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan pelawat ke negeri ini dan memuji usaha AirAsia dalam melancarkan laluan terbaharu itu.

Katanya, perkhidmatan terbaharu itu diyakini mampu meningkatkan jumlah pelawat ke negeri ini sekali gus me­nyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Menjadi komitmen bagi ke­rajaan negeri untuk mereali­sasikan potensi negeri ini khususnya dalam sektor pelancongan selain menjadi pemangkin ekonomi melalui peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Bagi Perak sendiri, negeri ini merupakan satu daripada destinasi pelancongan domestik pilihan utama yang mana pada tahun lalu, seramai 20.1 juta pelancong domestik direkodkan berbanding 16.8 juta pada 2016. Ini meletakkan Perak sebagai negeri kedua selepas Selangor,” katanya.