Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, langkah itu akan dibuat menerusi jualan dan belian semula aset bagi mengukuh­kan portfolio digital kumpulan.

“Kami akan melakukan satu lagi penjualan seperti dijanjikan. Kali terakhir, kami nyatakan Expedia yang akan dibuat secara jualan dan belian semula satu daripada aset bagi membina portfolio digital kami.

“Kami laksanakan semua yang kami katakan. Kini kami akan tumpu kepada kumpulan dan struktur digital kami,” katanya dalam laman Twitter hari ini.

Awal bulan ini, Fernandes mengesahkan laporan pelan AirAsia untuk melupuskan pegangan dalam Expedia menjelang hujung tahun ini, yang merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan melupuskan aset bukan teras.

Langkah tersebut memboleh­kan kumpulan memberi fokus kepada operasi teras.

Dalam masa sama, beliau juga dilaporkan berkata mahu menjual perniagaan makanan, Santan termasuk logistik dan operasi kargo.

AirAsia awal bulan ini juga bersetuju menjual operasi pajakan pesawatnya kepada entiti BBAM Limited Partnership (BBAM) dengan nilai AS$1.18 bilion (RM4.62 bilion).

Di bawah perjanjian itu, FLY Leasing Limited (Fly), Incline B Aviation Limited Partnership (Incline) dan Nomira Babcock and Brown (NBB) akan memperoleh portfolio 84 buah pesawat dan 14 enjin yang mana 79 pesawat dan 14 enjin akan dipajak semula kepada AirAsia.

Menurut Fernandes, jualan tersebut adalah sejajar dengan strategi AirAsia untuk melupuskan aset dan perniagaan bukan teras, satu usaha yang telah dilaksanakan sepanjang enam bulan lalu bermula dengan pusat latihan, unit pengendalian darat dan kemudiannya unit pajakan.