Syarikat pe­nerbangan tambang rendah itu dengan 49 peratus kepentingannya dimiliki oleh AirAsia Bhd. mempunyai lapan pesawat jenis A320 ketika ini dan akan membeli enam lagi pesawat menjelang Oktober tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India, Amar Abrol berkata, menjelang pertengahan 2018, pesawat itu dijangka menambah kekuatan sedia ada menerusi pembelian enam lagi pesawat.

“Malah, satu pasukan projek sudah pun memulakan usaha bagi memastikan kesediaan AirAsia India melancarkan perkhi­dmatan penerbangan antarabangsa dijangka bermula pada musim panas depan atau musim luruh,” kata­nya semalam.

Menurut Abrol, pasukan berkenaan akan meneliti laluan antarabangsa membabitkan masa penerbangan kurang daripada empat setengah jam dari India.

“Destinasi pertama berkemungkinan ke Asia Barat,” katanya.

Peraturan sedia ada menetapkan mana-mana syarikat penerbangan yang berpangkalan di India perlu memiliki sekurang-kurangnya 20 pesawat sebelum mendapat kelulusan untuk penerbangan ke luar negara.

AirAsia India mengendalikan sejumlah 58 penerbangan harian dari New Delhi dan Bengaluru dan perkhidmatannya merangkumi 13 lapangan terbang di negara itu.

Ia turut melancarkan penerbangan ke Srinagar di Kashmir dan Bagdogra di Benggala Barat, baru-baru ini. – BERNAMA