Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pertumbuhan perolehan itu disokong oleh faktor muatan yang kukuh pada kadar 82 peratus.

Katanya, ia juga didorong oleh peningkatan sebanyak sembilan peratus dalam jumlah penumpang, menjadikannya sebanyak 10.80 juta penumpang berbanding suku sama 2017.

“Secara keseluruhan, suku ketiga menyaksikan tempoh orang semakin kurang melancong. Terdapat tekanan ke atas harga tambang disebabkan oleh persaingan yang ketat di Thailand ditambah pula dengan kejadian feri di Phuket yang menghalang pelancong China ke Thailand.

“Selain itu, bencana alam di Indonesia termasuk Gunung Berapi Agung, gempa bumi di Lombok dan tsunami di Palu turut memberi kesan kepada kumpulan pada suku berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Keuntungan operasi bersih AirAsia Group bagi suku ketiga 2018 adalah sebanyak RM124.9 juta biarpun berhadapan dengan kos yang tinggi terutamanya bagi bahan api.

Operasi aliran tunai bagi suku berkenaan ialah RM1.63 bilion, manakala aliran tunai bersih pada RM2.57 bilion susulan daripada hasil transaksi pelupusan pesawat.

Pada suku dikaji, perolehan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (RASK) AirAsia pada 14.70 sen susulan tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK) naik 10 peratus.

Tambang purata kekal pada momentum menaik sebanyak tiga peratus dan merekodkan peningkatan kepada RM177 dengan faktor muatan sebanyak 82 peratus. - UTUSAN ONLINE