Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam catatan di laman twitternya hari ini berkata, kumpulan tersebut akan membida kontrak bagi tempoh 25 tahun itu bersama de­ngan anak-anak syarikatnya di Indonesia dan Filipina.

“Indonesia, Malaysia dan Fili­pina dalam semangat ASEAN akan bersama-sama membida kontrak lapangan terbang Clarke di Manila dan membina hab timur ASEAN yang besar. Kotakan janji ASEAN. Tahniah kepada lapangan terbang Indonesia. Lihatlah apa yang kita boleh lakukan di ASEAN apabila kita bekerjasama,” catatnya dalam twitter beliau.

Menurut laporan berita, Bases Conversion and Development Authority (BCDA), garis masa awal bagi projek itu menunjukkan sasaran pemberian dan pemeteraian kontrak adalah pada 30 Ogos, tetapi BCDA akan menerima bidaan sehingga lewat Ogos.

Pembangunan terminal baharu di wilayah Pampanga itu yang di jadual dibuka pada Julai 2020 bertujuan untuk mengurangkan kese­sakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila.

BCDA ialah perbadanan milik kerajaan berada di bawah Pejabat Presiden Filipina.

Ia terlibat dalam perkongsian awam swasta bagi membangunkan prasarana awam penting se­perti jalan bertol, lapangan terbang, pelabuhan dan juga pembangunan hartanah utama.

Pada Mei, lapan syarikat membeli dokumen bidaan bagi kontrak operasi dan penyenggaraan terma­suk Megawide Construction Corp., Metro Pacific Investments Corp. dan San Miguel Holdings Corp.

Kira-kira 30 kumpulan juga menghadiri persidangan prabidaan bagi projek itu yang diadakan pada 21 Mei, termasuk AirAsia Group, Udenna Corp dan JG Summit Holdings. – BERNAMA