Sesi temuduga yang dijalankan di Rumah Jangu Ladong di sini hari ini, merupakan pusingan akhir untuk pemohon yang berjaya melepasi pemilihan pertama di Hotel Parkcity Everly Bintulu semalam.

Pengambilan kru kabin baharu itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat penerbangan tersebut untuk membangunkan dan mencari kakitangan berbakat daripada pelbagai komuniti di Sarawak.

Sesi temuduga tersebut membolehkan peserta melibatkan diri dalam aktiviti tradisional kaum Iban seperti membuat rantai manik, mengikat sayur pucuk manis, mengait jala ikan, menganyam tikar rotan, bakul dan topi serta bermain alat musik tradisional untuk persembahan tarian ngajat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, temuduga itu diadakan di rumah panjang bagi membolehkan peserta merasai kehidupan seharian masyarakat tempatan dan masa sama, membolehkan pihaknya menilai kemahiran mereka.

Katanya, pengambilan kru kabin melalui usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah AirAsia untuk terus membangunkan bakat daripada pelbagai komuniti di Malaysia timur, di samping menawarkan peluang untuk belia meneruskan kerjaya dengan syarikat penerbangan berkenaan.

“Kami mengalu-alukan semua orang daripada semua lapisan masyarakat yang bersemangat dan mempunyai tekad tinggi untuk datang menyertai kami dan mewarnai langit merah bersama-sama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE