Syarikat Pengeluaran Air Sela­ngor Sdn. Bhd. (Splash) bersetuju memberi diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih syarikat terbabit sebanyak RM3.54 bilion pada 30 Jun lalu.

Keadaan itu menjadikan Air Selangor bakal muncul sebagai syarikat tunggal yang menjalankan proses merawat dan mengagih air terawat kepada pengguna Sela­ngor, Lembah Klang dan Putrajaya menjelang tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Air Selangor akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1.9 bilion dan baki pertimbangan sebanyak RM650 juta dibayar melalui ansuran tahunan selama sembilan tahun.

“Pengambilalihan ini tidak membabitkan apa-apa peruntukan kewangan daripada dana kerajaan negeri Selangor dan te­lah distrukturkan melalui pembayaran secara jangka panjang.

“Kita sentiasa akan menekankan kadar yang tidak membebankan rakyat dan ketika ini masih mempunyai masa untuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan negeri akan memutuskan setelah tiba masa­nya nanti. Buat masa ini tiada sebarang ketetapan untuk kenaikan tarif air,” katanya dalam sidang akhbar di Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin menyaksikan penyerahan surat tawaran pengambilalihan Splash yang di­sampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Sela­ngor, Suhaimi Kamaralzaman kepada Pengerusi Splash, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah.

Sementara itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Sungai Tua berkata, tawaran Air Selangor untuk mengambil alih Splash telah dicapai selepas proses rundingan selama hampir setahun.

Tegas beliau, atas sebab itu, nilai yang ditawarkan adalah adil dan munasabah berasaskan kepada prinsip persetujuan bersama (willing buyer, willing seller) selain mendapat pengesahan daripada penilai-penilai bebas yang dilantik kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan.

“Pengambilalihan ini akan menyelesaikan hutang tertunggak yang ditanggung Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kepada Splash untuk pembelian air terawat yang mencecah RM4.7 bilion sehingga 30 Jun lalu,” katanya.

Air Selangor merupakan syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor dan telah berjaya mengambil alih Syabas, Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB) dan Konsortium Abass Sdn Bhd. (KASB) pada 2015.

Dalam perkembangan sama, Suhaimi berkata, tawaran tersebut telah dipersetujui secara prinsipal oleh Splash namun masih perlu mendapat pengesahan daripada barisan ahli lembaga pengarah dan pemegang saham dalam tempoh sebulan setengah.

Beliau berkata, proses pengambilalihan ini akan melalui proses menandatangani surat penjanjian jual beli dan berbincang dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan lesen perkhidmatan dan operasi, justeru menyasarkan selesainya semuanya pada 1 Januari tahun depan.

“Pengambilalihan kali ini adalah tinggi berbanding tiga konsesi lain kerana bergantung pada nilai aset syarikat terbabit, selepas dinilai oleh para penilai yang dilantik,” katanya.