Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman berkata, usaha itu dapat dicapai dengan memfokuskan kepada perkhidmatan perbankan mudah alih dan ejen perbankan atau AgroAgent.

Kata beliau, sejak beralih kepada institusi perbankan Islam pada Julai 2015, Agrobank mencatatkan pertumbuhan bersih sebanyak sembilan peratus untuk tahun tersebut, serta 16.4 peratus pula pada tahun lepas.

“Semasa saya sertai bank ini tahun 2011, tidak ada langsung perbankan mudah alih. Namun tiga tahun lalu, kita telah membe­lanjakan lebih RM15 juta bagi membangunkan teknologi khusus buat generasi muda.

“Kita juga mempunyai sebanyak 700 ejen dan merancang menambah 300 ejen setiap tahun dengan sasaran keseluruhan 2,000 ejen menjelang hujung tahun 2020,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Agrobank diasaskan pada 1969 dengan mandat untuk membangun dan memperkasa sektor pertanian negara. Ia adalah sebuah bank milik kerajaan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan.

Kata Wan Mohd. Fadzmi, walaupun banyak bergantung kepada bahan komoditi seperti sawit dan getah, makanan telah menjadi portfolio paling pesat berkembang buat Agrobank kerana permintaannya tinggi.

Menurutnya lagi, pengukuhan pertanian adalah penting bagi mengurangkan defisit perdagangan kerana ia dapat membantu menurunkan import makanan serta mengukuhkan rizab asing.

“Malaysia banyak bergantung kepada makanan import menyebabkan ketidakseimbangan perdagangan bernilai RM18.1 bilion pada tahun 2015 iaitu import RM45.4 bilion mengatasi eksport RM27.3 bilion.

“Jadi, Malaysia perlu mening­katkan bekalan makanan sara diri pada masa depan kerana permintaan hanya akan semakin meningkat dengan jangkaan po­pulasi mencecah hampir 50 juta pada tahun 2050,” ujarnya.

Katanya, usaha itu dapat dicapai dengan memanfaatkan teknologi bagi memodenkan sektor pertanian, meningkatkan sumber, produktiviti modal dan daya saing sekali gus mengatasi cabaran sedia ada.

Tambah beliau, sektor pertanian terjejas dengan persepsi negatif tentang risiko yang tinggi dan pulangan yang rendah, selain masyarakat yang gagal untuk memberi penghormatan kepada golongan itu.