Penanggung tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Masaat Awadz berkata, setakat Februari tahun ini pula, seramai 1,181 usahawan agro (agropreneur) telah didaftarkan di bawah program Agro Teras, yang mana 95 peratus daripadanya adalah agropreneur wanita daripada kawasan luar bandar di seluruh negara.

Beliau berkata, Agro Teras merupakan program pembiayaan mikro bagi membantu usahawan daripada golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) yang terlibat di dalam bisnes pertanian dan industri asas tani.

“Melalui program pembiayaan khusus seperti ini, Agrobank bukan sahaja membantu usahawan baharu mikro, tetapi juga menyokong pengliba­tan wanita di dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

“Di Agrobank, kami bukan sahaja menyediakan pembia­yaan ke­pada para usahawan, malah turut memberikan tunjuk ajar kepada mereka melalui pelbagai program pembelajaran bagi memastikan para usahawan tani terus berjaya di dalam bidang yang diusahakan.

Kami percaya bahawa, suara wanita kini didengari di seluruh dunia dan ini adalah masanya untuk menyokong usaha memperkasakan wanita melalui pelbagai inisiatif dalam menaikkan kejayaan, peluang serta potensi mereka,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Tambah Masaat, Agrobank turut menyambut baik inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk memperkasakan wanita bagi tahun 2018, sejajar de­ngan agenda kerajaan yang telah diumumkan pada Januari lalu iaitu 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wa­nita.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan ‘Segala­nya Wanita’ akan menjadi fokus dan konsep di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018).

“Wanita memainkan peranan penting dalam bidang pertanian bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Dianggarkan seramai 70 peratus daripada pekerja di dalam bidang pertanian, 80 peratus pengeluar makanan dan 10 peratus di dalam bidang pemprosesan makanan asas adalah wanita.