Presiden Generasi Muda Berjaya (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, agensi-agensi ter­babit sebaliknya diminta mesra PKS dan bersedia menerima idea-idea baharu terutama membabitkan usahawan baharu memandangkan konsep perniagaan kini telah banyak berubah.

Katanya, ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan semangat golongan PKS sama ada yang ingin memulakan perniagaan mahupun mengembangkan perniagaan mereka de­ngan lebih luas lagi.

“Atas sebab itu, saya melihat, panel komuniti di agensi-agensi berkenaan tidak boleh terlalu konservatif dan berfikiran seperti orang bank yang hanya memen­tingkan keuntungan semata-mata kerana perniagaan kini telah memasuki era baharu.

“Kadang-kadang akan datang usahawan-usahawan baharu mem­­bentangkan idea perniagaan mereka yang sukar difahami oleh sesetengah ahli panel ini, walaupun konsep perniagaan mereka adalah bagus tetapi disebabkan beberapa perkara, maka permohonan tidak diterima, ini boleh melemahkan semangat mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan golo­ngan PKS mendapat banyak manfaat, antaranya Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk modal kerja dan sektor perkhidmatan sebanyak RM7 bilion, pinjaman di bawah SJPP membolehkan PKS mengautomasikan pengeluaran (RM1 bi­lion) dan Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah dengan subsidi kadar keuntungan dua peratus (RM1 bilion).

Selain itu, PKS juga akan me­nikmati kemudahan latihan, ge­ran dan pinjaman mudah di bawah SME Corp. sebanyak RM200 juta, pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi (RM82 juta) termasuk pembiayaan mikro iaitu pinjaman dana Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) berjumlah RM500 juta, Amanah Ikhtiar Malaysia (RM200 juta) dan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) bagi usahawan bumiputera desa (RM80 juta).

Agil dalam masa sama menasihati PKS supaya bijak memanfaatkan dana tersebut bagi meningkatkan daya saing mereka kerana dunia perniagaan hari ini tidak boleh lagi berada di takuk lama terutama dengan kemunculan ekonomi digital.

Presiden Persatuan Kontraktor Tenaga Malaysia, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd. Tahir berkata, adalah penting bagi agensi yang terlibat menggunakan budi bicara sebaik mungkin bagi memastikan pemohon tidak kecewa sekiranya terdapat kekurangan dalam permohonan mereka atau idea perniagaan.

Katanya, antara kelebihan agensi kerajaan adalah memastikan akreditasi Sirim dan juga proses usaha wajar dijalankan sebelum dana diberi kerana ia akan memastikan hanya usahawan dan perniagaan yang serius mendapat pertolongan daripada kerajaan.

“Dengan teknologi moden, beberapa kaedah sedia ada dapat digunakan. Contoh­nya, mewajibkan PKS mempunyai akreditasi SIRIM. Dengan akredita­si ini secara tidak langsung menunjukkan PKS bersungguh-sungguh dalam perniagaan termasuk permohonan dalam talian dan perkongsian data dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, CTOS dan bank yang turut membantu me­ngurangkan kerenah birokrasi.

“Saya juga berharap PKS di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak mendapat maklumat mengenai dana yang di­peruntukkan kerajaan. Ini kerana, PKS yang tidak berpelajaran tinggi selalu keliru tentang syarat-syarat teknikal untuk memohon dana dan kertas kerja yang tidak lengkap hingga meng­akibatkan permohonan ditolak,” kata­nya.