Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, cadangan penyusunan semula itu amat penting dalam meningkatkan sinergi kumpulan Affin dan membolehkan kumpulan bergerak maju untuk mencapai fasa pertumbuhan seterusnya.

“Memandangkan perubahan dinamik ekonomi dan industri, adalah penting untuk kami meletakkan strategi yang tertumpu pada kecekapan, kesesuaian dan tahap produktiviti yang betul untuk berkembang maju dalam membezakan Kumpulan Affin daripada yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Langkah penyusunan semula itu melibatkan pemindahan keseluruhan pegangan Affin Holdings di dalam Affin Hwang Investment Bank Bhd. (Affin Hwang IB) , Affin Moneybrokers Sdn. Bhd., AXA Affin Life Insurance Bhd. dan AXA Affin General Insurance Bhd. kepada Affin Bank Bhd.

Selain itu, Affin Holdings juga menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk membuat penukaran pemegang saham utama Affin Hwang IB, Affin Hwang Asset Management Bhd. dan AIIMAN Asset Management Sdn. Bhd. selaras dengan cadangan penyusunan semula itu.

Buat masa ini, Affin Holdings sedang berusaha untuk memperoleh keperluan kelulusan badan pengawal selia yang lain bagi meneruskan cadangan tersebut.

Menurut laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris, Februari lalu Affin Holdings bercadang untuk melengkapkan penyusunan se­mula itu pada suku keempat tahun ini.