Menurut Affin Bank, dalam penyusunan itu, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin dilantik sebagai Pengerusi (Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif) bersama Mohd. Suffian Haron, Tang Peng Wah dan Ignatius Chan Tze Ching bagi Lembaga Pengarah.

Selain itu, Lembaga Pengarah juga akan dianggotai Tan Sri Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif bersama Abd. Malik A. Rahman, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar dan Datuk Mohd. Hata Robani.

Bagi Jawatankuasa Lembaga Audit Kumpulan pula dianggotai Abd. Malik sebagai Pengerusi bersama Mohd. Ghazali dan Prof. Madya Dr. Said Bouheraoua (mewakili Affin Islamic Bank Berhad).

“Jawatankuasa Lembaga Pe­na­maan dan Imbuhan pula dianggotai oleh Abd. Malik sebagai Pengerusi bersama Mohd. Suffian, Mohd. Ghazali dan Mohd. Zahidi,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Zahidi sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Affin Bank pada 22 Jun 2017.

Dalam pengumuman 30 Januari lalu, Affin Bank memaklumkan akan mengambil alih penyenaraian Affin Holdings Bhd. (Affin Holdings) di Bursa Malaysia pada 2 Februari ini berikutan langkah penyusunan semula syarikat Kumpulan Affin yang menyaksikan Affin Holdings telah menyempurnakan pengagihan semua sahamnya dalam Affin Bank kepada para pemegang saham.

Sehubungan itu, Affin Holdings menjadi sebuah syarikat tidak aktif dan akan dibubarkan dalam masa terdekat manakala Affin Bank akan menerajui pertumbuhan masa depan Kumpulan Affin Bank.

Affin Bank kini merupakan syarikat induk kepada Affin Islamic Bank Bhd., Affin Hwang Investment Bank Bhd., Affin Moneybrokers Sdn. Bhd. dan AXA Affin Life Insurance Bhd. manakala AXA Affin General Insurance Bhd. menjadi syarikat bersekutu Affin Bank.