Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, Accord kini hanya ditawarkan di pasaran ini dalam dua varian iaitu 2.0 VTi-L dengan harga kekal sama pada RM149,350 dan bagi varian tertinggi, 2.4 VTi-L Advance dilengkapi Honda Sensing pada harga RM169,800 sebuah.

Menurut beliau, Accord mengungguli jualan kenderaan segmen D, dengan versi generasi ke­sembilan sudah terjual sebanyak 5,500 unit sejak September 2016.

“Daripada jumlah itu, varian 2.4L menyumbang sebanyak 25 peratus manakala varian 2.0 VTi-L menjadi pilihan popular, menyumbang sebanyak 61 peratus manakala model asas yang digugurkan (2.0 VTi) hanya menyumbang sebanyak 14 peratus,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengenalan varian Accord 2.4 Vti-L Advance dilengkapi Honda Sensing dan jamuan sempena Deepavali di sini hari ini.

Ishiyama berkata, bagi model CR-V, sebanyak 34 peratus pe­langgan yang membeli model baru berkenaan memilih varian tertinggi dengan ciri Honda Sen­sing, dan hampir 50 peratus pemilik 1.5L Turbo membayar harga premium untuk pakej keselamatan berkenaan.

“Ini mungkin menjadi petunjuk positif bagi sambutan yang bakal diterima oleh Accord 2.4 VTi-L Advance,’’ kata beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial berkata, Honda Sen­sing merupakan sistem keselamatan yang terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu ciri bantuan pemanduan, penghindaran perlanggaran sisi serta penghindaran perlanggaran secara berdepan.

Ia dikendalikan dengan menggunakan dua peranti iaitu kamera monokular yang terletak berdekatan bahagian cermin pandang belakang, serta milimeter wave radar pada bahagian depan yang terletak di bawah logo pada jeriji.