AAX dalam kenyataannya berkata, jumlah penumpang pada suku kedua 2018 meningkat sebanyak 13 peratus tahun ke tahun kepada 1.57 juta orang melepasi peningkatan enam peratus tahun ke tahun bagi kapasiti Tempat Duduk Kilometer Tersedia (ASK) syarikat.

Menurut syarikat itu, bermula April lalu AAX Malaysia telah meningkatkan kekerapan penerbangan ke Taipei daripada 19 kali kepada 21 kali seminggu dan ke Busan sebanyak enam kali berbanding empat kali sebelum ini.

“Pertambahan kekerapan itu berdasarkan permintaan yang kukuh dan selari dengan strategi penguasaan pasaran dalam jangka panjang. Syarikat yakin dapat meningkat PLF sejajar dengan permintaan yang kukuh walaupun berdepan tekanan terhadap hasil dan faktor muatan dalam jangka pendek.

logo AirAsiaX
 

“Dalam sukuan yang sama AAX Malaysia mengurangkan kekerapan penerbangan ke Beijing daripada 14 kali kepada 7 kali seminggu dan menamatkan laluan ke Tehran. Syarikat tidak lagi mahu memberi fokus kepada negara yang mempunyai satu laluan sahaja kerana kapasiti tersebut boleh digunakan untuk menyokong pasaran teras,” katanya di sini hari ini

Jumlah pesawat AAX Malaysia kekal sebanyak 22 buah Airbus A330s setakat Jun 2018.

Tambahnya, AAX Thailand mencatatkan prestasi yang baik dengan PLF sebanyak 91 peratus dan membawa 483,595 penumpang meningkat 25 peratus tahun ke tahun.

Menurut syarikat itu, suku kedua menyaksikan AAX Thailand mula meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Tokyo di Narita kepada 21 kali berbanding 14 kali selain memperkenalkan penerbangan harian ke Sapporo pada April lalu.

“AAX Thailand menerima satu pesawat tambahan pada pertengahan April menjadikan jumlah keseluruhan tujuh pesawat setakat Jun,” katanya.

Sementara itu, AAX Indonesia berjaya memperbaiki prestasi dengan mencatatkan PLF sebanyak 78 peratus dan membawa 134,173 penumpang.

Katanya, AAX Indonesia telah membatalkan laluan ke Mumbai melalui Kuala Lumpur pada April dan melaksanakan dua hub strategi dengan terbang ke Tokyo dari Bali dan Jakarta.

“Jumlah pesawat yang dimiliki AAX Indonesia kekal dengan dua buah A330s. Jumlah keseluruhan pesawat Kumpulan AAX setakat Jun 2018 adalah 31 buah,” jelas syarikat itu. - UTUSAN ONLINE