Ketua Operasi A&W, Mohd. Hasmadi Zainal berkata, ketika ini setiap restoran A&W merekodkan jumlah purata jualan bulanan masing-masing sebanyak RM200,000.

Katanya, menerusi kerjasama antara A&W dan syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran honestbee, menu A&W kini boleh dihantar ke kediaman atau pejabat pelanggan menerusi ho­nestbee dari lapan buah restoran buat masa ini.

“Restoran yang terlibat adalah di Setapak Central, Wangsa Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kota Damansara, Petaling Jaya, Sunway Geo, Petronas TTDI dan Seksyen 7 Shah Alam,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran khidmat penghantaran A&W di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Korporat A&W, Norashekin Yusof dan Pengurus Akaun Utama honestbee, Ryan Wan.

Mohd. Hasmadi berkata, honestbee akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan dalam jarak tiga kilometer dari restoran yang mengambil bahagian bermula pada pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

“Tempahan minimum ialah RM15 dan akan dikenakan caj RM4.99 bagi setiap penghantaran,” katanya.

Untuk masa hadapan, beliau berkata, rantaian restoran makanan segera itu terbuka kepada kerjasama dengan syarikat lain.

“Buat masa ini kami akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan honestbee terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kerjasama dengan rakan kongsi lain,” katanya.

Sementara itu, Ryan Wan berkata syarikat itu akan menambah lebih banyak penghantar bagi memperkukuh perkhidmatan sedia ada.

“Kami mempunyai kira-kira 400 penghantar bermotosikal dan sentiasa memberi peluang kepada mereka di luar sana untuk menjadi sebahagian daripada honestbee,” katanya.