Pemangku Ketua Pegawai Ek­sekutifnya, Mohd. Hasmadi Zai­nal berkata, tujuh cawangan itu akan menjadikan keseluruhan ca­wangan A&W sebanyak 48 buah menjelang akhir tahun daripada 41 buah ketika ini.

Beliau berkata, A&W Malaysia membelanjakan sekitar RM1.2 juta untuk setiap pembukaan ca­­wa­ngan baharu.

“Hujung bulan ini kita akan buka dua cawangan iaitu di Evo Mall, Bangi serta Paradigm Mall, Johor Bahru dan sehingga akhir tahun, kita merancang untuk buka lima lagi cawangan di seluruh negara.

“Lima cawangan ini adalah pandu lalu dengan dua darinya di Kuala Lumpur dan masing-ma­sing sebuah di Pulau Pinang, Ne­geri Sembilan dan Selangor,” katanya pada penyampaian hadiah La Mole Burger di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Pemasaran A&W Malaysia, Norashekin Yusof.

A&W Malaysia memberi ganjaran bernilai RM10,000 terdiri daripada hadiah utama skuter Honda Beat, 10 buah ukelele dan baucar tunai kepada kira-kira 30 pelanggan bertuah sempena peraduan tersebut.

Pertandingan pada Mac hingga Mei lalu itu memerlukan peserta mengumpul semua pelekat selepas membeli set makanan La Mole Burger, dan mencipta satu slogan yang menceritakan rasa makanan itu yang unik.

Mohd. Hizami Abd. Jalil muncul pemenang utama membawa pulang skuter Honda Beat selepas berjaya memberikan slogan yang paling kreatif daripada keseluruhan penyertaan yang diterima oleh A&W Malaysia.

Menurut Mohd. Hasmadi, de­ngan pertumbuhan perniagaan yang positif bagi separuh kedua tahun ini, A&W Malaysia turut merancang untuk membuka antara 10 hingga 12 buah cawangan pada tahun depan.

“Fokus tahun depan adalah untuk menawarkan lebih banyak cawangan kepada pelanggan A&W di bandar-bandar utama yang kurang cawangan seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Ipoh.

“Selain itu, cawangan itu juga akan dibina lengkap dengan konsep baharu industri makanan segera termasuk reka bentuk dan susun atur dalaman, selain berkapasiti besar lebih 3,000 kaki persegi,” jelasnya.