Tujuan dan niat yang betul untuk bisnes

Sabda Rasulullah SAW da­lam sepotong hadis: “Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan RasulNya. Dan si­apa yang hijrahnya karena menginginkan kehidupan yang layak di dunia atau ke­rana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.”

Setiap perkara yang dilakukan bergantung pada niat dan tujuan yang kita letakkan. Jika tujuan dan niatnya baik, hasilnya akan baik. Dalam usia yang makin meningkat, saya sentiasa berfikir apa yang boleh dilakukan untuk me­nyumbang pada masyarakat dan ummah. Dan saya dapati dengan berniaga, mendidik generasi, terlibat dengan sukarelawan, menjadi mentor dan fasilitator-fasilitator program mampu menjadi satu daripada jalan untuk saya menyumbang kepada masyarakat.

Kenapa mahu kaya?

Siapa tidak mahu jadi kaya? Rata-rata daripada kita mahu jadi kaya dan hidup senang, betul? Begitu juga saya. Namun, saya yakin bahawa kekayaan yang bakal saya peroleh hasil daripada perniagaan ini bukanlah untuk hidup bermewah-mewah, beli kereta besar, rumah cantik bertingkat-tingkat, makan makanan yang lazat-lazat dan mahal. Bukan kerana itu. Tetapi kekayaan dan kejayaan yang saya ada ini adalah untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

Makin kaya diri kita, makin banyak yang boleh kita sumbangkan. Benar kata-kata daripada Imam Hasan Al Basri, kita kena letak dunia dalam genggaman kita tapi bukan di hati. Saya teringat satu kisah ketika seorang pegawai di Taman Botani Putrajaya berta­nya kepada saya, “Awak nanti lepas habis belajar mahu jadi apa? Kalau ditawarkan kerja di sini awak mahu?”.

Saya terdiam seketika. Lalu menjawab, “Saya nak jadi kaya. Jadi, saya nak buat bisnes.” Dan respon beliau sangat positif, “Bagus lah kalau macam tu, jadi orang kaya boleh banyak menyumbang. Sembilan daripada sepuluh punca rezeki datangnya daripada perniagaan”. Alhamdulillah, niat dan tujuan saya sentiasa disokong oleh ibu bapa, keluarga, pensyarah, mentor-mentor, rakan-rakan dan individu di sekeliling saya.

Hidup untuk memberi

Kehidupan seorang pelajar bukan sekadar berkisar kepada kelas, peperiksaan dan tutorial sahaja. Hakikatnya, pelajar sekarang perlu menceburkan diri dengan pelbagai aktiviti untuk menambah nilai dan kualiti diri mereka.

Walaupun sibuk dengan akademik di universiti (Universiti Putra Malaysia), namun itu tidak menghalang saya untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti luar seperti kesukarelawanan, mentor program dan bisnes sendiri.

Sepanjang pengajian, saya juga bergerak aktif sebagai ahli komuniti dan sukarelawan Youth of Happiness (YOSH). Melalui aktiviti kesukarelawanan ini, saya dapat melatih diri menjadi lebih matang, yakin, berani dan berdikari dalam menjalani cabaran dan liku-liku sebagai seorang insan. Pengalaman yang diperolehi sepanjang menjadi fasilitator dan mentor program sekolah, matrikulasi dan institut pengajian tinggi, banyak mengajar erti memberi bukan semata-mata wang, tapi termasuk tenaga, perasaan, masa dan fikiran kepada yang memerlukan.

ADLINA SELAMAT adalah Alumni Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia