HANS-PETER
HANS-PETER

Ketua Pegawai Ekseku­tif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel berkata, kajian yang dilakukan pada permulaan Ramadan me­li­batkan 550 responden seluruh Malaysia menunjukkan peningkatan ketara berbanding kekerapan membeli-belah dalam ta­lian pada 2016.

Walaupun begitu katanya, rakyat Malaysia lebih berjimat cermat untuk memperoleh barangan keperluan hari raya dengan 66 peratus menyatakan peningkatan kos hidup merupakan faktor utama kepada penjimatan.

Jelas beliau, membeli-belah dalam talian membolehkan rak­yat Malaysia memenuhi keperluan Aidilfitri dengan mudah pada harga yang berpatutan.

“Sebanyak 83 peratus responden tahun ini memberi tumpuan kepada barangan keperluan seperti pakaian dan aksesori untuk hari raya ini, manakala 73 peratus lagi merancang untuk membeli barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) seperti barangan keperluan bakeri, minuman dan barangan runcit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kajian tersebut turut mendapati 45 peratus rakyat Malaysia memilih untuk membeli barangan keperluan pada saat akhir iaitu kira-kira dua minggu sebelum Aidilfitri walaupun telah mula men­yimpan wang sejak awal.

Ressel berkata, Lazada juga telah melancarkan kempen Riang Ria Raya sejak 19 Mei sehingga 30 Jun ini dengan potongan harga sehingga 90 peratus untuk pelbagai barangan seperti pakaian, barangan dapur, makanan, minuman dan lain-lain.

“Sejak bermulanya kempen ini, kami mendapati rakyat Malaysia memilih tiga kategori utama iaitu kelengkapan rumah, barangan runcit dan produk fesyen, membuktikan bahawa membeli-belah dalam talian telah menjadi lumrah kehidupan kita,” katanya.