Pernahkah anda terfikir bagaimana anda boleh ter­ingatkan jenama penerbangan tambang murah ini sedangkan harga yang ditawarkan itu tidak semestinya murah? Ini disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu taktik pemasaran mereka yang menarik anda menggunakan perkhidmatan mereka. Dan pengalaman positif yang tidak dapat dilupakan setelah anda menggunakan khidmat penerbangan mereka.

Anda mungkin biasa melihat jenama-jenama yang mempunyai strategi pemasaran yang hebat tetapi tidak ramai yang akan datang lagi setelah mencuba produk ataupun perkhidmatan mereka. Ini di­sebabkan kualiti yang disediakan tidak menepati cita rasa, penanda aras dan juga jangkaan ketika promosi diadakan.

Nampaknya, kualiti produk tidak sama dengan penceritaan yang diadakan ketika kempen. Jadi dengan sendirinya orang ramai pun tidak akan datang lagi. Malah, bukan itu sahaja mereka akan bercerita dengan rakan-rakan mereka tentang jenama anda. Orang ramai kini mempunyai banyak pilihan di tangan mereka dan tidak perlukan anda kerana produk atau perkhidmatan yang sama, ada bersepah di luar sana.

Di sini ada beberapa taktik yang boleh anda gunakan untuk mengatasi masalah di atas dan seterusnya menjadikan kualiti produk atau per­khidmatan anda menjadi buah mulut orang dan seterusnya membantu menguatkan lagi penjenamaan anda di pasaran.

Fokus kepada jaminan kualiti produk atau perkhidmatan anda dengan teliti.

Sebelum sesuatu promosi dijalankan, anda perlu fokus terhadap jaminan kualiti ke atas semua produk yang dijual. Pastikan semuanya berada pada tahap yang amat memuaskan dan sekiranya terdapat mana-mana produk yang tidak begitu sedap, kurang menarik atau ada sesuatu yang tidak kena, jangan tawarkan langsung. Selidik terlebih dahulu sama ada bahan-bahan yang digunakan sudah tamat tempoh, basi dan sebagainya.

Kongsikan maklum balas positif daripada para pelanggan.

Jangan lupa untuk kongsikan semua maklum balas yang diberikan oleh para pelanggan yang datang di semua saluran media anda. Ini bagi memberitahu kepada mereka yang belum lagi datang mencuba produk atau perkhidmatan anda itu untuk segera membuat tempahan atau datang. Untuk impak yang lebih kuat, maklum balas tadi perlu ada gambar atau video sekali. Ini kerana minda manusia akan lebih cepat memproses sesuatu maklumat yang berbentuk visual berbanding tulisan.

Sentiasa inovatif dalam menawarkan sesuatu yang baharu.

Sekiranya anda seorang penjual char koey teow misalnya, dan biasanya anda dan pasukan anda akan memasak beberapa menu biasa setiap hari. Apa kata seminggu sekali per­kenalkan satu atau dua menu baharu yang masih berasaskan char koey teow agar para pelanggan anda bukan sahaja tidak jemu dengan apa yang ada, malah akan sentiasa teruja untuk terus datang ke premis anda. Dengan strategi seperti ini yang inovatif, para pelanggan setia anda terutamanya tidak akan berasa bosan.

Interaksi dengan para pelanggan anda.

Jangan harapkan kepada para pekerja sahaja, anda sebagai pemilik perniagaan dan jenama juga perlu berinteraksi dengan para pelanggan yang datang. Pastikan anda berbual mesra, bertanyakan khabar, memperkenalkan di­ri anda kepada para pelanggan yang baharu ataupun sekurang-kurangnya berte­rima kasih kepada mereka kerana sudi da­tang ke kedai anda. Sama juga di media sosial, jangan lupa untuk terus berinteraksi dengan mereka agar silaturahim dapat dirapatkan, dan apabila rapat­nya silaturahim maka dengan sendirinya mereka akan datang lagi mencuba produk atau perkhidmatan anda.

Jadikan mereka istimewa.

Maksud istimewa di sini ialah, jadikan mereka sebahagian kawan rapat anda. Ambil tahu pasal mereka sebagai sahabat, berjumpa mereka di luar waktu perniagaan, hadir ketika dijemput kenduri-kendara dan sebagainya. Dengan cara ini, mereka secara tidak langsung akan membantu anda membuat promosi percuma atau berkongsi di media sosial mereka ketika mereka datang ke kedai anda.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah 
Pakar Pemasaran Digital. 
Ikuti pandangan beliau di azleen.com