Ketua Pegawai Eksekutif Air­Asia X Malaysia, Benyamin Ismail berkata, untuk segmen Australia dan Asia sahaja, seramai 12 juta penumpang telah memilih menggunakan perkhidmatan AirAsia X.

“Sebanyak 22 peratus keuntungan AirAsia X disumbangkan oleh pasaran Australia dan kami bercadang untuk meningkatkan lagi pasaran di sini.

“Kami bercadang untuk menambah kekerapan penerbangan dengan memberi fokus kepada pengukuhan pasaran di laluan sedia ada di sini seperti Gold Coast, Sydney dan Melbourne,” katanya selepas menghadiri majlis sam­butan operasi AirAsia X ke-10 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Pembangunan Perniagaan Lapangan Terbang Gold Coast, Paul Donovan.

Menurut Benyamin, penerba­ngan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Gold Coast dimulakan pada 2007 dengan hanya tiga penerba­ngan seminggu dan selepas 10 tahun beroperasi, jumlah kekerapan penerbangan meningkat menjadi 11 penerbangan seminggu.

Katanya, AirAsia X tidak menolak kemungkinan untuk membuka laluan-laluan baharu untuk penumpang di Australia.

AirAsia X ujarnya, menjangka jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan meningkat hingga 10 peratus pada tahun depan. – UTUSAN