Sime Darby Berhad, I&P Group Sdn. Bhd., S P Setia (Indonesia) Sdn. Bhd. dan PT Hanson International Tbk telah menanda­tangani perjanjian persefa­haman (MoU) untuk membangunkan kira-kira 500 hektar di Maja, Tangerang, iaitu 80 kilometer dari Jakarta.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, berdasarkan MoU itu, ketiga-tiga entiti Malaysia masing-masingnya akan memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 20 peratus manakala PT Hanson sebanyak 40 peratus.

“Kesemua entiti kedua-dua negara itu akan melanjutkan negosiasi dengan menyelesaikan segala urusan dan membuat perjanjian dalam waktu tiga bulan,” kata kenyataan itu.

Majlis memeterai MoU itu diadakan bersempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini hari ini, disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berkata, sebagai pemaju hartanah terbesar berdasarkan keluasan kawasan di Malaysia, Sime Darby sangat gembira untuk berkongsi pe­ngalaman dalam mengembangkan masyarakat kelas menengah.

“Ini adalah kesempatan bagi syarikat Malaysia dan Indonesia untuk berkolaborasi seperti apa yang kita harapkan menjadi urus niaga yang saling menguntungkan,” kata beliau.

Pengerusi Kumpulan Hanson, Edi Yosfi berkata, pihaknya optimis kerjasama ini akan menyumbang kepada keupayaan Indonesia dalam menyediakan perumahan mampu milik yang mendapat permintaan tinggi.

Bagi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hanson International, Benny Tjokrosaputro, Hanson sangat yakin semua pihak akan mendapatkan keuntung­an daripada projek itu, apatah lagi ia selaras dengan wawasan Presiden Indonesia, Jo­ko Widodo untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat republik ini.

Pengarah Urusan Kumpulan I&P, Datuk Jamaludin Osman berkata, pihaknya percaya de­ngan sinergi yang mendalam dan kombinasi kekayaan penga­laman untuk pengembangan kota dari tiga syarikat Malaysia.

Bagi Presiden & CEO SP Setia, Datuk Khor Chap Jen, dengan penduduk Jakarta berjumlah 10 juta orang, di kawasan lebih daripada 25 juta penduduk di wilayah ekonomi yang berkembang pesat, ini merupakan ke­sempatan bagi SP Setia untuk meluaskan perniagaan ke seluruh dunia.

Maja terletak di sebelah barat Jakarta iaitu kira-kira 90 minit menggunakan kereta api dan dekat dengan daerah industri di provinsi Banten, di mana sekitar 400,000 orang bekerja di 1,500 syarikat. – UTUSAN