Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof berkata, SIRIM turut memberi khidmat nasihat kepada 1,399 usahawan mengenai pembungkusan dan reka bentuk keselamatan di bawah standard SIRIM.

Beliau berkata, SIRIM turut bekerjasama dengan Per­badanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membantu PKS di bawah bimbingannya memanfaatkan Pusat Integrasi Eksport (ICE) Matrade.

“Para usahawan yang di­bimbing SIRIM sememangnya digalakkan untuk menembusi pasaran eksport, untuk itu kami bekerjasama dengan Matrade bagi membantu mana-mana syarikat PKS yang telah dikenal pasti dan bersedia mengeksport produk masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros.

Tambah Zainal Abidin, SIRIM menyasarkan sebanyak 30 PKS di bawah program InnoPack untuk mula mengeksport produk mereka tahun ini.

Sementara itu, Mohd. Shahreen Zainooreen berkata, ICE yang diperkenalkan pada Disember 2014 berfungsi sebagai pusat sehenti bagi syarikat-syarikat tempatan mendapatkan maklumat berkaitan pasaran eksport.

Katanya, ICE dibuka kepada orang awam setiap Rabu dan Khamis dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, SME Corp. dan SME Bank turut sedia memberi bantuan dan maklumat kepada syarikat yang hadir.

“Pusat ini juga bertujuan menambah baik sistem pe­nyampaian agensi kerajaan kepada syarikat-syarikat tempatan terutamanya PKS.

“Penubuhan ICE juga secara tidak langsung membantu mencapai sasaran sumbangan eksport PKS daripada 17.6 peratus kepada 23 peratus menje­lang 2020,” katanya.