ZAKARIA ARSHAD
ZAKARIA ARSHAD

Menurut beliau, dalam masa sama, masyarakat juga sudah boleh membezakan antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FGV dan Felda Investment Corporation (FIC) apabila imej FGV sedikit terjejas di mata pelabur ekoran beberapa isu melibatkan Felda, antaranya pembelian hotel dan hak milik tanah di Jalan Semarak.

“Kita (FGV) memang rapat dengan Felda tetapi antara FGV dan Felda adalah berbeza. FGV tidak terlibat dalam pelaburan pembelian hotel, isu tanah ataupun projek ikan sturgeon. Begitu juga dengan FIC, orang keliru. Tetapi lama-kelamaan saya melihat persepsi orang sudah semakin berubah dan mereka dapat bezakan Felda dan FGV.

“Imej FGV selama ini memang bersih, dan semakin bersih sejak kita menukar pengurusan baharu (diterajui Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sejak September 2017). Saya juga yakin 2018 ini imej FGV akan lebih bersih setelah kita melalui tahun paling mencabar sejak 2016 dan belajar daripada kesilapan selepas apa yang kita hadapi tahun lalu,” tegas beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bahkan menurut Zakaria, tiada istilah berkrompomi terhadap isu-isu salah laku dalam usaha memastikan tadbir urus yang lebih telus pada masa hadapan dengan fokus utama kepada memperkukuhkan operasi perniagaan FGV.

Katanya, bukan sahaja sejak kembali semula ke FGV Oktober lalu menjadikan beliau lebih tegas, malah penekanan terhadap soal integriti sememangnya menjadi agenda utama apabila dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April 2016.

“Jika siasatan yang sedang berjalan ketika ini ada individu-individu tertentu didapati bersalah, kita takkan berkrompomi dan tidak teragak-agak mengambil sebarang tindakan.

“Mesej kita jelas, sebab kita nak buktikan kita fokus pada perniagaan dan tindakan kita adalah telus. Kita akan laksanakan dengan betul kali ini, tiada lagi kompromi,” katanya merujuk kepada siasatan Asian Plantations Ltd. (APL) yang sedang berjalan sejak awal Januari lalu.

Disember lalu, FGV dilaporkan melakukan siasatan dalaman terhadap isu pengambil­alihan APL yang dimuktamadkan pada 2014 berikutan dakwaan ia dibeli dengan harga yang melam­pau tinggi hingga melebihi RM1 bilion. Cadangan pembelian APL diumumkan pada Ogos 2014 dan FGV memuktamadkan pengambilalihan itu pada hujung Oktober tahun yang sama dengan RM628 juta.

Difahamkan, apabila FGV mengumumkan cadangan tersebut pada akhir Ogos 2014, lembaga pengarahnya terdiri daripada Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (ketika itu Pengerusi Felda dan FGV) dan Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah (Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif FGV).

Menurut Zakaria, siasatan itu kini masih di peringkat dalaman dan baru sahaja bermula dengan FGV akan mengkaji dan menilai dengan terperinci setiap pula­ngan bagi setiap pelaburan yang dibuat sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil.

“Bila siasatan ini akan berak­hir belum pasti kerana kita nak tengok pelbagai aspek dan sama ada ia rumit ataupun tidak. Bagaimanapun, kita akan berhati-hati dengan setiap pelaburan yang akan dibuat selepas ini, termasuk aktiviti di peringkat hiliran dan juga huluan,” katanya.

Beliau berkata, ini juga termasuk hasrat FGV untuk membeli tanah greenfield (belum dite­roka) di Kalimantan, Indonesia yang masih di peringkat proses usaha wajar dan pihaknya akan membuat penilaian yang lebih mendalam sebelum sebarang keputusan boleh dimuktamadkan.

Ditanya mengenai isu jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) beliau menjelaskan, langkah FGV sebagai pemegang saham yang meletakkan seorang Pengarah Eksekutif hanya mahu meningkatkan semula prestasi syarikat gula tersebut setelah ia mencatat prestasi kurang memberangsangkan tahun lalu.

Katanya, FGV tidak berhasrat untuk memperkecilkan kedudukan sesiapa sebaliknya ia hanya satu tindakan bagi memperbaiki keadaan memandangkan MSM mempunyai banyak projek yang perlu dilaksanakan tahun ini, antaranya kilang gula di Tanjung Pelepas, Johor dan cabaran-cabaran lain termasuk menangani ketidaktentuan hasil dan mata wang.

“Setakat ini, kita sudah cuba memberi tawaran kepada beliau (Datuk Mohamad Amri Sahari @ Khuzari) dengan tempoh tertentu tetapi masih belum selesai. Sekiranya tiada apa-apa kata putus kita akan bawa kepada mesyuarat lembaga pengarah sebelum pelantikan baharu dibuat,” katanya.

Januari lalu, Mohamad Amri Sahari mengosongkan jawatan tersebut setelah beliau dikatakan mengemukakan surat peletakan jawatan kerana tidak bersetuju dengan keputusan FGV melantik Pengarah Eksekutif. Jawatan itu kini dipangku Mohd. Shaffie Said yang merupakan Ketua Pegawai Teknikal MSM dan Pengarah Projek MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, FGV akan mengumumkan prestasi kewangan bagi suku keempat 2017 pada 23 Februari ini. Pada suku ketiga berakhir 30 September 2017, FGV mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM170 juta berbanding RM44 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala perolehan juga meningkat lima peratus kepada RM12.7 bilion berbanding RM12.09 bilion tempoh sama tahun lalu.