Arul Kanda Kandasamy

Arul Kanda Kandasamy yang baharu dilantik sebagai Presiden 1MDB berkata, syarikat perlu menguruskan penggunaan tunai dengan cara yang lebih berkesan.

“Selagi sektor perbankan dan kredit saling berkait antara satu sama lain, selagi itulah kami merupakan peminjam yang bertanggungjawab dan syarikat tidak pernah gagal,” katanya kepada Bloomberg di sini hari ini.

Beliau menggantikan Mohd. Hazem Abd. Rahman yang meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB berkuat kuasa serta-merta semalam.

Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang mengulas mengenai perubahan 1MDB itu berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada peralihan syarikat,

Arul Kanda memiliki pengalaman luas dalam sektor kewangan antarabangsa dan mempunyai rekod yang baik dalam mentransformasikan perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai lembaga penasihat 1MDB sebelum ini berkata, 1MDB perlu memulakan satu `kajian semula strategik’ bagi operasinya selepas menerima kritikan daripada ahli parlimen pembangkang terhadap hutang yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, Arul tidak memberi sebarang komen berhubung laporan Edge Financial Daily yang menyatakan syarikat itu kini mempunyai sehingga 30 Januari untuk membayar balik pinjaman dengan pemberi pinjaman tempatan.

Beliau sebaliknya menyatakan ia satu perjanjian sulit dengan pihak bank.

“Kami perlu mengakui terdapatnya cabaran termasuk beberapa persoalan dan pertanyaan munasabah yang akan dibangkitkan kepada 1MDB. Dan kami perlu menguruskannya dengan cara yang betul,” katanya – AGENSI