Jurucakap Perbadanan PR1MA Malaysia memberitahu, rumah mampu milik itu akan dibangunkan melibatkan 15 projek di beberapa kawasan di negeri ini.

Katanya, dua projek sedang dalam pembinaan ketika ini iaitu melibatkan 10 blok yang mempunyai 1,320 unit kediaman di Tebingan Bintawa, manakala 912 unit lagi di Matang di sini.

“Satu lagi projek yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat ialah di Semenggoh di sini, membabitkan pembinaan kira-kira 1,200 unit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, lebih 1.4 juta termasuk 68,000 pemohon sudah mendaftar untuk membeli rumah di bawah PR1MA di negeri ini.

PR1MA mengadakan hari terbuka di pejabatnya di Metrocity, Matang di sini bermula kelmarin sehingga semalam.

Program itu memberi peluang kepada penduduk Sarawak untuk mendapatkan maklumat ber­hubung kaedah pembelian rumah PR1MA.

Antara agensi terlibat dalam program itu ialah Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerjasama bank-bank tempatan.

“Mereka yang berminat bo­leh menyemak status terkini ke­wang­an mereka sebelum bercadang membuat pinjaman untuk membeli rumah," ujarnya.

Jelasnya, pembeli boleh membuat pinjaman menerusi dua kaedah iaitu pembiayaan berperingkat dan pembiayaan berperingkat dengan pengeluaran KWSP.

Menerusi dua kaedah itu, katanya, pembeli akan membayar jumlah yang sama dalam tempoh lima tahun pertama dan mula membayar prinsipal pinjaman apabila memasuki tahun keenam sehingga habis.