Menurut kenyataan pejabat Presiden semalam, Petronas akan memiliki kepentingan yang sama dalam projek berkenaan melalui anak syarikatnya, Petronas E&P Argentina SA.

Bagaimanapun, Petronas belum mengulas mengenai pengumuman berkenaan.

Lapangan minyak Vaca Muerta yang bersaiz sebesar Belgium terletak di Barat Argentina dan dianggap sebagai deposit gas syal kedua terbesar dan deposit minyak syal keempat terbesar di dunia.

“Pelaburan ini membolehkan kami meningkatkan pengelua­ran petrol sebanyak 30 peratus menjelang 2022 yang mana ia mewakili peningkatan keseluruhan sebanyak 15 peratus untuk Argentina.

“Objektif syarikat adalah untuk mencapai pengeluaran bersamaan 60,000 tong sehari pada 2022. Jumlah pelaburan keseluruhan dijangka mencecah AS$7 bilion (RM29.1 bilion) dalam tempoh 20 tahun,” katanya.

Kerajaan melihat Vaca Muerta mampu untuk menampung bekalan tenaga yang semakin menyusut di Argentina, namun terhalang disebabkan kekura­ngan infrastruktur.

Ketua Eksekutif YPF, Daniel Gonzalez memberitahu Reuters pada November bahawa syarikat tersebut akan meningkatkan pengeluaran minyak dan gas bukan konvensional menerusi pelaburan antara AS$4 bilion (RM16.63 bilion) hingga AS$5 bilion (RM20.79 bilion) setahun menjelang 2022.

Petronas dan YPF telah be­kerjasama dalam penerokaan perintis serta inisiatif pengelua­ran dan akan memulakan pembangunan projek bahan bakar bukan konvensional di blok Amarga Chica di wilayah Neuquen.

Pengumuman itu adalah be­rita baik bagi kerajaan Mauricio Macri yang terpaksa mencari tindakan menyelamat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) awal tahun ini. – REUTERS