Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Abdul Manaf berkata, program tersebut merupakan perkongsian antara Yayasan Maybank dan Yayasan ASEAN, bukan saja membolehkan peserta ber­umur antara 19 hinga 35 tahun mengetegahkan kreativiti, bahkan membangunkan kemahiran kepemimpinan serta meningkatkan semangat keusahawanan yang mampu memberi impak berpanjangan kepada komuniti ASEAN.

“Memperkasa belia adalah satu cabang yang kami begitu bersemangat lakukan pelaburan dan ia mandat yang kita ambil dengan begitu serius.

“Ia juga adalah satu daripada cara kami memanfaatkan perkhidmatan kewangan dan menjalankan perniagaan untuk memastikan kami menyediakan masa depan yang mapan untuk generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran Empowering Youth Across ASEAN yang diadakan di Universiti Chulalongkorn, Bangkok baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin; Pe­ngarah Eksekutif Pusat Pe­ngajian ASEAN Universiti Chulalongkorn, Prof. Suthiphand Chirathivat; Pengarah Perhubungan Komuniti Sekretariay ASEAN, Lee Yoong Yoong dan Penasihat Menteri Luar Thailand, Vijayat Isarabhakdi.

Program Empowe­ring Youth Across ASEAN merupakan kesinambungan daripada projek perintis yang dijalankan antara Yayasan Maybank dan Maybank Singapura.

Kali ini, Yayasan Maybank sekali lagi bekerjasama dengan Yayasan ASEAN bagi menjayakan misi sukarelawan yang bertujuan mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat ASEAN.

Bengkel tersebut diadakan bermula 22 hingga 26 Januari lalu disertai 100 belia dari rantau ASEAN.

Menurut Nora, bengkel lima hari itu menyaksikan para peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan dan mereka dilatih bagi membangunkan perancangan projek meliputi aspek berkaitan isu-isu pembangunan komuniti dan sosial.

Antara fokus yang diberikan oleh peserta termasuklah kepelbagaian persekitaran; pendidikan serta seni dan budaya.

“Bengkel serantau ini berfungsi sebagai elemen penting bagi projek Empowering Youth Across ASEAN kerana peranannya yang melengkapkan semua peserta dengan kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk mereka melaksanakan projek di kawasan komuniti terpilih di Kemboja, Indonesia dan Malaysia selama dua minggu.

“Kami percaya belia hari ini adalah untuk masa depan. Oleh itu, tumpuan kami adalah menyediakan program mapan yang memberi manfaat ekonomi jangka panjang serta menyumbang kepada kemajuan komuniti di ASEAN,” katanya.

Usaha Yayasan Maybank

Pada 2010, sempena ulang tahun ke-50 Kumpulan Maybank, Yayasan Maybank telah dilancarkan sebagai pemacu utama bagi melaksanakan aktiviti tanggungjawab korporat di seluruh Kumpulan Maybank.

Mandat yang dibawa oleh yayasan berkenaan adalah mengenalpasti program yang memberikan hasil paling ketara dan mapan serta usaha yang akan membawa perubahan dalam jangka panjang.

Menerusi perkongsian strategik dengan pihak berkepen­tingan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, tumpuan yayasan adalah meningkatkan kualiti hidup untuk semua masyarakat terutama yang kurang bernasib baik tanpa mengira kaum, jantina atau kepercayaan.